PETALING JAYA: Pelakon Nadzmi Adhwa tidak mampu menahan sebak apabila meluahkan kerinduan terhadap isterinya, Ardell, yang kini menyertai pelayaran misi kemanusiaan ke Gaza.
Momen penuh emosi itu dirakam ketika sesi siaran langsung di TikTok @alwadelhijab baru-baru ini, sekali gus menyentuh hati ramai peminat.
Dalam siaran tersebut, Nadzmi sempat mengingatkan orang ramai agar terus memberi sokongan kepada isterinya kerana tudung yang dipromosikan adalah hasil rekaan Ardell sendiri.
“Awak semua sokong Ardell tau, rekaan ini dia yang buat, bukan saya,” ujarnya.
Menjawab pertanyaan netizen sama ada dia merindui Ardell, Nadzmi dilihat sebak sehingga mengalirkan air mata.
“Rindu sangat, gila tak rindu,mestilah saya rindu.” jawab Nadzmi.
Nadzmi turut berkongsi bahawa isterinya tidak pernah lupa menitipkan pesan untuk sentiasa menghargai peminat walaupun sedang berjauhan.
“Dia selalu ingatkan saya supaya beri hadiah sementara menunggu dia pulang. Tunggu saya balik ya. Walaupun saya tahu keadaannya sukar, dia tetap tunjukkan wajah gembira,” ujarnya lagi.
Lebih menyentuh hati, dia mendedahkan sering berkongsi link iCloud Photos bersama Ardell, yang membolehkan setiap rakaman di kapal masuk terus ke telefonnya.
Namun, di sebalik itu, dia mengakui isterinya sedang melalui detik sukar.
“Tidur susah, sembahyang pun susah, kadang aku pun penat tengok dia. Ada masa dia tidur sambil duduk je, nak sembahyang pun susah sangat,” ujarnya sebak.
Luahan ikhlas itu membuatkan ramai netizen tidak mampu menahan sebak, malah ruangan komen turut dipenuhi doa agar pasangan selebriti itu terus kuat menempuh ujian.
Untuk rekod, Ardell Ariana telah menyertai Misi Global Sumud Flotilla sudah hampir 13 hari disana.
Turut serta, penyanyi, Zizi Kirana juga bersama beberapa aktivis dari Malaysia telah berlayar melalui laut Mediterranean bersama puluhan kapal dari 44 negara bagi misi bantuan pada 31 Ogos lalu.