Malaysia Oversight

Arahan Azlin bukan atas kapasiti pemegang amanah YR1M

By MkiniBM in September 8, 2025 – Reading time 2 minute
Arahan Azlin bukan atas kapasiti pemegang amanah YR1M


Bekas Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Rakyat 1Malaysia (YR1M) Ung Su Ling memberitahu Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur bahawa arahan daripada bekas Setiausaha Sulit Datuk Seri Najib Tun Razak, Allahyarham Datuk Azlin Alias untuk memindahkan RM27 juta dan RM5 juta ke dalam dua akaun bank, bukan dibuat atas kapasiti beliau sebagai seorang daripada pemegang amanah yayasan itu.

Ung bersetuju dengan cadangan peguam Najib, Muhammad Farhan Muhammad Shafee bahawa arahan berkenaan lebih merupakan permintaan peribadi dan tiada apa-apa dasar-dasar atau kontrak pekerjaan dalam perlembagaan YR1M yang memerlukan beliau mematuhi arahan Azlin.

Beliau menyatakan sedemikian semasa sesi pemeriksaan balas oleh Muhammad Farhan dalam perbicaraan saman sivil SRC International Sdn Bhd dan anak syarikatnya, Gandingan Mentari Sdn Bhd berjumlah RM42 juta terhadap Najib di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan hari ini.

Muhammad Farhan turut menyoal saksi sama ada terdapat minit mesyuarat Lembaga Pengarah (BOD) YR1M atau mandat bertulis daripada BOD yang mengarahkan pemindahan dana ke dua akaun terbabit, dan Ung menjawab “tidak”.

Muhammad Farhan: Setakat ini, anda tidak bertanya atau mendapatkan maklumat lanjut mengenai dua transaksi itu?

Ung: Ya. Saya tidak biasa mempersoalkan keputusan para pemegang amanah terhadap arahan yang diberikan, kerana maklumat yang diberikan sudah memadai.

Muhammad Farhan: Baik, saya hentikan anda di situ. Anda tadi menyebut bahawa anda tidak akan mempersoalkan kebijaksanaan pemegang amanah, tetapi itu hanya terpakai sekiranya arahan terbabit dibuat atas kapasiti mereka sebagai pemegang amanah. Sedangkan anda sendiri baru nyatakan ia adalah permintaan peribadi.

Ung: Memandangkan ia melibatkan individu yang sama, anda tidak akan mempersoalkan arahan daripada pihak atasan, betul? Ini adalah Setiausaha Sulit Kanan kepada Perdana Menteri Malaysia. Saya tidak berhasrat untuk mempersoalkan mengenai sebab, siapa atau bagaimana perkara itu berlaku.

aa04f13c26f5001375d3927dbd34a3a7

Dalam prosiding sebelum ini, Ung memberitahu mahkamah bahawa Azlin menghantar mesej kepadanya melalui WhatsApp pada Disember 2014 supaya beliau mengarahkan pengarah urusan Ihsan Perdana Sdn Bhd (IPSB), Datuk Seri Shamsul Sulaiman untuk memindahkan RM27 juta ke akaun AmIslamic atas nama “AmPrivate Banking — 1MY” (Akaun 880) dan RM5 juta ke akaun AmIslamic atas nama “AmPrivate Banking — MY” (Akaun 906).

Semasa perbicaraan kes SRC International melibatkan Najib, kedua-dua akaun berkenaan telah dibuktikan sebagai miliknya (Najib).

Perbicaraan bersambung pada 6 Okt depan.

Saman yang difailkan pada Mei 2022 itu mendakwa Najib telah melakukan pecah amanah, menerima dana dengan pengetahuan, tort salah laku dan salah guna kuasa berhubung penyelewengan dana SRC International.

– Bernama



Source link