Turut mencuri perhatian dalam pengenalan siri iPhone baharu tahun ini adalah semestinya iPhone 17 Pro dan juga iPhone 17 Pro Max. Kedua-duanya hadir dengan rekaan baharu pada bahagian kamera belakang peranti, selain pelbagai pembaharuan dari segi spesifikasi dan binaan dalaman telefon pintar berkenaan.

Apple iPhone 17 Pro hadir dengan skrin bersaiz 6.3-inci, sementara iPhone 17 Pro Max pula dengan skrin 6.9-inci. Kedua-duanya menggunakan paparan Super Retina XDR dengan sokongan kadar segar semula 120Hz, dan kecerahan mencapai 3000-nits. Menguasakan telefon pintar ini juga adalah cip Apple A19 Pro, cip paling berkuasa Apple untuk siri iPhone setakat ini.
Apple mengatakan penggunaan cip ini bersama rekaan kebuk wasap baharu membolehkan ia menawarkan prestasi berterusan 40% lebih baik berbanding generasi sebelumnya. Seperti siri iPhone lain tahun ini, ia turut menggunakan cip rangkaian tanpa wayar Apple N1 untuk WiFi 7, Bluetooth dan juga Thread.

Untuk rakaman gambar, siri ini menggunakan gabungan tiga sensor 48-megapixel di bahagian belakang, yang mengabungkan kamera utama, kamera ultra-lebar dan juga telefoto yang membolehkan pengguna melakukan rakaman gambar berkualiti zum optikal 8x. Pada bahagian hadapan, ia menyertakan kamera swafoto 18-megapixel.
Dengan fokus terhadap pengguna “Pro”, ia turut membolehkan rakaman video dalam bentuk ProRes RAW, Log 2 dan genlock, sokongan rakaman 4K120fps. Kedua-dua model ini juga membolehkan pengecasan bateri sehingga 50% dalam masa 20 minit menggunakan pengecas berkuasa tinggi.
Seperti model lain, ia turut hadir dengan iOS 26 yang menyertakan antaramuka Liquid Glass, selain integrasi Apple Intelligence melaluinya.
Di Malaysia, pengguna boleh melakukan pra-tempahan bermula 12 September 2025 ini, dan dijual bermula 19 September 2025. iPhone 17 Pro ditawarkan pada storan bermula 256GB pada harga bermula RM5499. Sementara iPhone 17 Pro Max pula ditawarkan pada harga bermula RM5999, dan turut ditawarkan buat pertama kalinya dengan pilihan storan sehingga 2TB yang mencapai harga RM9999.
