Malaysia Oversight

APMM tahan bot penumpang bawa lebih muatan di Pulau Ketam

By TheSun in October 9, 2025 – Reading time 1 minute
APMM tahan bot penumpang bawa lebih muatan di Pulau Ketam


SHAH ALAM: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia menahan sebuah bot penumpang yang membawa 48 orang melebihi kapasiti dibenarkan di perairan barat daya Pulau Ketam semalam.

Pengarah Maritim Kapten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata penahanan dilakukan selepas menerima aduan awam mengenai bot membawa penumpang berlebihan di jeti penumpang Pulau Ketam.

Beliau berkata sebuah bot ronda APMM digerakkan ke lokasi dan berjaya menahan bot berkenaan tidak lama kemudian.

Hasil pemeriksaan mendapati bot itu dikendalikan tiga lelaki warga tempatan terdiri daripada nakhoda berusia 63 tahun serta dua kru masing-masing berusia 33 dan 59 tahun.

Pemeriksaan lanjut menunjukkan bot berkenaan membawa 48 penumpang melebihi had dibenarkan 12 orang seperti ditetapkan dalam lesen sah operasinya.

Abdul Muhaimin menegaskan ia merupakan kesalahan serius kerana boleh mengancam keselamatan nyawa sekiranya berlaku kecemasan.

Bot penumpang bersama tiga kru itu dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin Pulau Indah untuk siasatan lanjut di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952.

Dalam perkembangan lain beliau memaklumkan mayat seorang lelaki warga ditemui berapung di perairan barat Pantai Acheh Pulau Indah semalam.

Mangsa dikenali sebagai Luo Deliang berusia 54 tahun dilaporkan hilang pada 6 Oktober lepas dan merupakan kru kapal korek pasir MV DARRUN 88.

Mayat mangsa ditemui terapung kira-kira 50 meter dari kapal yang bersauh itu.

Mangsa kemudian dibawa ke Jeti Peninsular Sailing Club dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. – Bernama



Source link