
API Pengesahan Nombor Telefon Dilancarkan Untuk Membendung Kes Penipuan Dan Kecurian Identiti
Nazrin
Isu penipuan dan kecurian identiti dilihat masih lagi sangat berleluasa di Malaysia, dan memerlukan kerjasama daripada pelbagai pihak untuk membendungnya. Terkini, syarikat-syarikat telekomunikasi tempatan telah memperkenalkan platform Number Verification API yang memberi akses kepada pihak bank dan syarikat-syarikat untuk memudahkan mereka untuk mengesahkan identiti pemilik nombor telefon yang didaftarkan kepada syarikat-syarikat mereka.
Dengan Number Verification API, ia akan membolehkan pihak bank dan juga platform jual-beli atas-talian untuk mengesahkan identiti individu yang berdaftar di platform-platform tersebut, dan ini sedikit sebanyak akan membantu pihak-pihak ini untuk memastikan bahawa identiti para pengguna di platform mereka adalah tulen.
API ini diperkenalkan dengan kerjasama bersama-sama syarikat-syarikat telekomunikasi besar Malaysia, termasuklah CelcomDigi, Maxis, U Mobile, Telekom Malaysia dan Yes 5G, untuk membolehkan syarikat-syarikat tempatan yang membenarkan pendaftaran melalui telefon untuk mengesahkan identiti pengguna mereka dengan lebih jitu.
API ini dilancarkan sewaktu Sidang Kemuncak Negara edisi ASEAN di Kuala Lumpur baru-baru ini dan adalah sebahagian daripada program Open Gateway GSMA yang membolehkan syarikat untuk membina perkhidmatan dan aplikasi yang membolehkan syarikat mengakses sebahagian data pengguna apabila nombor telefon digunakan untuk mendaftar akaun perbankan ataupun platform jual-beli digital mereka.
Komen
Sila log masuk untuk menghantar komen.






