ULASAN SUKAN | Bayangkan bagaimana cerita kita pada hari ini andainya skuad Harimau Malaya belum lagi memiliki kelompok pemain warisan dan naturalisasi. Atau, bayangkan kita masih menggunakan 100 peratus tenaga anak Malaysia.
Sudah pasti FAM akan bersetuju menghantar barisan senior negara itu untuk beraksi dalam Kejohanan Piala Negara-Negara Persatuan Bolasepak Asia Tengah (CAFA) pada Ogos ini.
Jadi, seharusnya kita teruskan sahaja bertanding seperti dijadualkan. Bukankah kita sudah ada bakat tempatan dalam skuad negara yang juga bukan calang-calang kemampuannya?
Tapi, entah kenapa, tiba-tiba pihak pengurusan pasukan membuat keputusan menarik diri daripada kejohanan tersebut. Mahu tidak mahu, kita kini diasak dengan pelbagai persoalan.
Kita pun tidak dapat mengagak apa sebenarnya berlegar dalam kepala pegawai FAM dan juga ketua jurulatih Harimau Malauya, Peter Cklamovski.
Apakah wujud rasa bimbang bahawa tanpa khidmat pemain warisan, ranking dunia kita akan turun?
Atau pun kekhuatiran itu lebih terarah kepada soal maruah selepas Malaysia membaham Vietnam 4-0 pada 10 Jun lalu.
Ketika itu skuad kebangsaan dibarisi majoriti barisan pemain warisan dan naturalisasi. Ranking dunia kita juga naik apabila menghuni tangga ke-125.
Kebelakangan ini komuniti bola sepak kita juga ghairah dengan isu ranking Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa).

Kenapa mahu takut sangat ranking akan jatuh? Ia suatu kejohanan jemputan dan apa salahnya bertanding walaupun akan beraksi tanpa khidmat pemain warisan – yang difahamkan terbabit dalam liga masing-masing di Argentina, Sepanyol atau Colombia?
Tanpa mereka, situasi itu juga boleh membuka ruang kepada anak jati Malaysia untuk membuktikan nilai masing-masing. Bukankah ini satu perkembangan baik jika dilihat dari sudut positif?
Rasanya, pegawai tertinggi pasukan lebih mementingkan statisik yang baik untuk dipertahankan berbanding melihat sudut lebih rasional.
Bukankah misi ke CAFA juga akan memberi peluang kepada pemain tempatan kita beraksi dalam perlawanan bermutu tinggi dan mendapatkan banyak minit permainan.
Nampaknya pihak pengurusan pasukan semacam kurang yakin pemain tempatan dapat menggalas tanggungjawab besar negara. Atau dengan kata ringkas, macam takut kalah.
Nampak langkah kurang wajar
Kita ada Arif Aiman Hanapi, Faisal Halim, Nazmi Faiz atau penjaga gol, Syihan Hazmi, umpamanya untuk mengetuai cabaran. Begitu juga beberapa lagi pemain naturaliasi yang mewakili kelab dalam Liga Super.
Tetapi jika mereka ini juga dianggap ada komitmen dengan pasukan masing-masing dalam liga elit kita, jadi tak tahu pula nak kata apa-apa.
Liga Super bermula pada 8 Ogos ini dan perlawanan pertama Malaysia menentang Tajikistan dalam kejohanan CAFA ialah pada 29 Ogos.
Tidak dinafikan, beberapa kelab utama juga akan bimbang soal kecederaan pemain selepas berakhir kejohanan antarabangsa itu.
Namun itu semua hanyalah andaian dan melihat kepada perkembangan terkini ia mencetuskan beberapa persoalan yang menuntut jawaban.
Apa pun, tindakan FAM mahu menarik diri secara mengejut selepas menerima jemputan itu jelas nampak kurang wajar.

Bukankah langkah FAM menyusahkan pasukan tuan rumah bersama – Tajikistan dan Uzbeksitan – untuk mereka menyusun semula jadual dan persiapan lain, termasuk urusan logistik?
Gelagat menarik diri pada waktu ini juga sudah mencalar imej negara. Tambah perit, perhubungan baik dibina selama ini dengan pasukan tuan rumah dan juga negara lain yang bertanding mungkin akan retak
Kalau memang rasa kurang pasti sama ada wajar, badan induk itu seharusnya menolak saja undangan itu awal-awal. Setidak-tidaknya keputusan itu dapat menjimatkan masa dan tenaga pasukan tuan rumah.
Penganjuran kali ini turut membabitkan pasukan ranking ke-18 dunia iaitu Iran, selain Kyrgyzstan, Afghanistan, Oman dan Turkmenistan.
Semalam, FAM melakar cerita baru apabila menyebut Pestabola Merdeka mungkin diadakan pada Sept ini selepas menarik diri daripada CAFA.
Alasannya, kejohanan tertua di Asia itu akan menjadi medan persiapan terbaik skuad Harimau Malaya untuk menghadapi saingan kelayakan Piala Asia menentang Laos pada 9 Okt 14 sebelum bertemu Nepal pada 18 Nov.
Kita ikut saja perkembangannya.
V ASHOK ialah bekas Pengarang Sukan dan Pengarang Berita Luar Negara di Berita Harian.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.