KONVENSYEN AMANAH | Presiden Amanah Mohamad Sabu hari ini menempelak kerajaan negeri di bawah PAS yang didakwanya sekadar berbangga dengan slogan Membangun Bersama Islam tetapi rakyat mereka terus terhimpit.
Kata Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan itu, sebaliknya kerajaan Madani terus mengangkat kesejahteraan rakyat sebagai wajah Islam sebenar dalam memberi manfaat kepada manusia.
“Bantuan Sumbangan Asas Rahmah (Sara), Sumbangan Tunai Rahmah (STR), e-Kasih — semuanya menunjukkan bahawa kerajaan Madani bukan sekadar retorik, tapi membuktikan dengan tindakan.
“Itulah wajah Islam sebenar – memberi manfaat kepada manusia, bukan hanya slogan di pentas.
“Apa guna mereka berbangga dengan slogan Membangun Bersama Islam jika rakyat di negeri mereka terus dihimpit kemiskinan, kekotoran, ketiadaan peluang pekerjaan dan kemunduran,” katanya.
Mohamad berkata demikian ketika menyampaikan pidato presiden dalam Konvensyen Nasional Amanah 2025 di Shah Alam, hari ini.
Dia mengulas mengenai usaha Putrajaya meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat termasuk usaha menoktahkan kemiskinan tegar.
Slogan Membangun Bersama Islam menjadi dasar pentadbiran kerajaan Kelantan sejak ditadbir oleh bekas Mursyidul Am PAS, Allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Sementara itu Mohamad turut menegaskan bahawa Islam terus menjadi dasar pentadbiran di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.
Katanya, elaun imam, bilal dan guru kelas agama fardu ain (Kafa), sekolah agama dan pondok turut ditingkatkan.
“Sebagai contoh, sebanyak RM150 juta diperuntukkan dalam Belanjawan 2026 untuk memperkasakan sekolah tahfiz dan institusi pondok.
“Perdana Menteri sendiri menjadi contoh kepimpinan berjiwa agama, menghadiri kuliah, turun ke masjid, dan menyantuni ulama pelbagai aliran.
“Inilah Islam yang sebenar, Islam yang tidak menghukum, tapi mendidik.
“Islam yang menyatukan, bukan memecah-belahkan,” katanya yang juga bekas timbalan presiden PAS.






