Perdana Menteri, Anwar Ibrahim menolak desakan supaya setiausaha politiknya yang terpalit dalam kontroversi pengeluaran surat sokongan kepada kontraktor yang membida projek pembinaan hospital tahun lalu dipecat.
Menjawab pertanyaan mengenai desakan bekas menteri ekonomi, Rafizi Ramli semalam supaya tindakan sedemikian diambil, Anwar berkata, walaupun dia tidak bersetuju dengan apa yang dilakukan, namun surat sokongan itu bukan sesuatu arahan.

“Saya faham dari mana datangnya pandangan itu, tetapi kita perlu melihat kepada tahap keseriusan kesalahan. Saya memang tidak bersetuju dengan apa yang dilakukan oleh beliau (setiausaha politik), tetapi kita perlu bertanya sama ada projek itu benar-benar diberikan berdasarkan suratnya… jawapannya tidak.
“Jadi, kita telah menegur beliau. Kita tidak boleh mendesak tindakan keras hanya kerana kita tidak bersetuju dengan seseorang. Kita mesti konsisten.
“Saya telah menggunakan kata-kata yang tegas kepadanya supaya menjadi pengajaran kepada yang lain juga,” katanya kepada media ketika dalam pesawat menuju Afrika Selatan selepas lawatan rasmi di Addis Ababa, Ethiopia.
Semalam, Rafizi menamakan Shamsul Iskandar Mohamd Akin sebagai pegawai yang menulis surat sokongan untuk enam kontraktor dalam projek pembinaan sebuah hospital tahun lalu.

Bekas menteri ekonomi yang juga bekas timbalan presiden PKR itu berkata, perkara seperti ini bukan kali pertama dan Shamsul Iskandar harus dipecat. Malah, menurutnya, satu laporan harus difailkan dengan SPRM supaya siasatan menyeluruh dapat dijalankan.
Diminta wartawan mengulas desakan supaya SPRM mengadakan siasatan lanjut, Anwar mengulangi bahawa surat itu bukan suatu arahan.
“Surat itu bukan arahan. Kamu dengar orang bercakap tentang rasuah ada satu dua kes, tetapi mereka langsung berdiam diri tentang berbilion ringgit yang dicuri apabila ia melibatkan rakan atau penyumbang mereka.
“Bagi saya, ini lebih serius. Saya tidak ada simpati kepada mereka yang melarikan berbilion.

“Kamu pejam mata pada semua kes besar ini tetapi memperbesarkan isu kecil… betul, ia memang tidak boleh dibiarkan, tetapi ia tidak patut disamakan dengan kes berbilion yang dicuri,” katanya lagi.
Ditanya sama ada amaran keras sudah mencukupi, perdana menteri berkata pengkritik perlu konsisten dalam memilih isu yang hendak diperjuangkan.
“Mereka mesti konsisten… kamu tidak mengetengahkan kes rasuah besar melibatkan VIP (orang kenamaan), tetapi kamu buru ikan bilis hanya untuk meraih populariti, ” katanya.






