PARLIMEN l Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata dia akan meminta Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Tiong King Sing untuk memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh pendekatan pelancongan mesra Islam bagi mengekalkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi utama pelancongan halal dunia.
Semasa sesi Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini, Anwar menyambut baik cadangan Mas Emiryati Samsudin (PN–Masjid Tanah) yang mencadangkan lebih banyak program dilaksanakan bagi memperkukuh inisiatif berasaskan pelancongan Islam.
“Agensi khusus untuk galakkan pelancongan Islam selari dengan keputusan kita untuk jadikan Malaysia sebagai hab pelancongan Islam,” katanya.
Anwar turut memaklumkan bahawa pada mesyuarat di Bank Negara semalam, kerajaan membincangkan peranan Malaysia sebagai hab ekonomi Islam, termasuk kemajuan negara dalam sektor kewangan Islam di peringkat global.
“Ada enam negara yang cadangkan supaya Malaysia mengepalai usaha untuk meningkatkan program instrument kewangan Islam dan ekonomi, bersama dengan pelancongan.
“Saya setuju perkara ini wajar diteliti, saya akan minta menteri pelancongan bagi keutamaan dari segi program pelancongan yang mesra Muslim,” katanya.
Menurut Anwar, beberapa negara majoriti Islam seperti Turki dan Qatar telah melaksanakan program pelancongan yang menekankan penginapan mesra keluarga, aktiviti serta penyediaan makanan yang selaras dengan prinsip halal.
Dalam sesi sama, Mas Emiryati turut mempersoalkan status Pusat Pelancongan Islam (Islamic Tourism Centre, ITC) dan jika ia akan diserap ke bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) sebagai sebahagian daripada langkah rasionalisasi agensi kerajaan.
Dia juga mempersoalkan mengapa jawatan ketua pengarah ITC masih belum diisi walaupun pusat itu memainkan peranan penting dalam mengekalkan reputasi Malaysia sebagai hab pelancongan Islam global.
Menjawab pertanyaan itu, Anwar menegaskan ITC akan kekal sebagai agensi bebas dan tidak akan dimansuhkan atau diserap ke bawah kementerian berkenaan.
“Tentang pelantikan ketua pengarah ITC akan dilakukan dengan segera, Mungkin dalam satu hingga dua hari, tapi saya percaya ITC ini tidak akan dimansuhkan kerana ketua pengarah pun baru sahaja dilantik,” katanya.
Malaysia sebelum ini diiktiraf sebagai destinasi pelancongan mesra Islam nombor satu dunia oleh Mastercard Global Muslim Travel Index, hasil peranan aktif ITC serta rujukan antarabangsa dalam bidang hospitaliti halal di bawah rangka kerja OIC dan UNWTO.
Anwar turut berseloroh apabila Mas Emiryati bertanya mengapa Tiong tidak hadir di Dewan Rakyat hari ini.
“Saya pun tak pasti, mungkin dia tidak sihat atau demam,” katanya sambil disambut gelak ketawa ahli Dewan.






