Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu kerja-kerja pembinaan Kota MADANI disegerakan bagi menjadikan projek itu sebagai model pembangunan bandar yang berteraskan nilai kemanusiaan, kelestarian dan kemajuan teknologi.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata beliau telah mengusulkan kepada Putrajaya Holdings (PjH) untuk menyegerakan projek berkenaan yang telah dilancarkan pada 26 Jun lepas.
“Saya usulkan lebih setahun tentang pembinaan Kota MADANI. Saya ucap terima kasih kerana Perbadanan Putrajaya (PPj) memberikan kerjasama penuh untuk mempercepat proses kelulusan itu.
“Mudah-mudahan kita dapat lihat dalam masa singkat … yang saya tidak boleh tolak ansur ialah kalau (pembinaan) lambat, jadi kita (mahu pembinaan yang) cepat.
“Sejak PPj dan semua jentera kerajaan memberikan kerjasama penuh, kini tunggu Putrajaya Holdings untuk beri full speed ahead,” kata beliau ketika berucap pada Majlis Sambutan Ulang Tahun PjH ke-30 di Putrajaya malam ini.
– Bernama






