Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menyampaikan jemputan rasmi kepada Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump untuk menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN-AS dan Sidang Kemuncak Asia Timur di Kuala Lumpur, Oktober depan.
Menerusi catatan di Facebook, Perdana Menteri berkata jemputan itu disampaikan menerusi Setiausaha Negara Amerika Syarikat Marco Rubio yang melakukan kunjungan hormat ke atas beliau hari ini.
“Malaysia kekal yakin bahawa kerjasama erat dengan AS bukan sahaja memperkukuh hubungan dua hala, malah menjadi pemangkin kepada kestabilan, kemakmuran dan keamanan rantau Indo-Pasifik secara keseluruhan,” kata Perdana Menteri.
Pertemuan kira-kira 40 minit itu diadakan di Bangunan Parlimen dan ia adalah lawatan sulung Rubio ke Asia sebagai Setiausaha Negara selepas dilantik ke jawatan itu awal tahun ini.
Selain itu, Anwar berkata pertemuan tersebut juga membuka ruang kerjasama lebih luas dalam bidang pelaburan digital, kecerdasan buatan (AI), pertahanan serta pendidikan.
“Kami turut bertukar pandangan mengenai isu-isu serantau yang mendesak termasuk situasi di Palestin, Ukraine dan Myanmar,” kata Perdana Menteri.
Rubio berada di Kuala Lumpur bagi menghadiri mesyuarat peringkat tinggi sempena Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN ke-58 dan mesyuarat berkaitan yang dianjurkan Malaysia di bawah Kepengerusian ASEAN 2025.
Beliau mewakili AS ke mesyuarat ASEAN yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur dari 8 hingga 11 Julai.
– Bernama