PARLIMEN l Seorang ahli Parlimen pembangkang hari ini menggesa Perdana Menteri Anwar Ibrahim supaya terus mengingatkan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump bahawa serangan udara tentera Israel masih berlanjutan di Gaza, walaupun selepas perjanjian gencatan senjata dan janji penyelesaian menyeluruh diumumkan.
Bercakap kepada media di Dewan Rakyat Parlimen, ahli Parlimen Kapar, Dr Halimah Ali, mengulangi pendiriannya bahawa dia semasa perbahasan Belanjawan 2026, sebelum kehadiran Trump pada Sidang Kemuncak Asean ke-47, telah menyampaikan mesej tegas supaya pembunuhan rakyat Palestin dihentikan segera.
“Semasa bahas saya kata, If you (Trump) are listening, I am representing the voices of peoples of the world and the global netizens, Mr Trump don’t kill!
“Bila dah ada ceasefire, saya difahamkan masih ada pembantaian oleh pihak Zionis kepada warga Gaza. Jadi di mana ceasefire ini?
“Inilah orang yang kita sambut dengan begitu meriah sekali, berbanding dengan orang lain. Orang yang telah membunuh wanita, kanak-kanak, doktor, wartawan… hospital, macam-macam yang dihancurkan,” katanya.
Semalam, agensi Reuters melaporkan bahawa Israel mendakwa masih komited kepada gencatan senjata yang disokong Amerika Syarikat di Gaza sejak 10 Oktober, namun tetap melancarkan serangan balas sehari penuh sebagai tindak balas terhadap kematian seorang askar Israel — serangan yang menurut pihak kesihatan Gaza mengorbankan 104 orang.
Menurut laporan sama, tentera Israel menegaskan bahawa mereka masih berhasrat mengekalkan gencatan senjata di wilayah Palestin itu, namun mengakui telah melancarkan serangan udara di utara Gaza, dengan alasan terdapat simpanan senjata di kawasan tersebut.
“Jadi saya minta kepada perdana menteri – kut lah ada peluang lagi – ingatkan Mr Trump yang ceasefire itu is not ceasing (gencatan senjata itu sebenarnya tidak berhenti), serangan masih beterusan,” kata Halimah.
Menurutnya, dirinya belum yakin dengan penjelasan Anwar yang menyebut telah tiga kali mengulangi seruan Malaysia untuk penyelesaian menyeluruh yang mengiktiraf hak rakyat Palestin di Gaza sepanjang lawatan dua hari Trump ke Malaysia.
Terdahulu di Dewan Rakyat, Anwar ketika sesi Waktu Pertanyaan Menteri memperincikan komitmen Malaysia terhadap tindakan susulan selepas rundingan damai Gaza.






