Perdana Menteri, Anwar Ibrahim petang ini mengarahkan agensi penguatkuasaan undang-undang mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang menghasut kebencian di negara ini.
Dalam ucapannya pada perhimpunan penjawat awam di Putrajaya, Anwar merujuk insiden-insiden terkini yang berkaitan kematian pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir di Sabah, serta isu kesilapan memaparkan Jalur Gemilang.
Dia berkata isu-isu tersebut telah dijadikan agenda oleh pihak tertentu untuk membangkitkan sentimen politik dengan merendah-rendahkan dan menghukum pihak lain tanpa berasaskan kebenaran dan fakta.
“Oleh itu hari ini bukan amaran, hari ini bukan teguran, hari ini saya menyatakan untuk menyelamatkan negara ini tindakan tegas mesti dan wajib diambil.
‘Tragedi rusuhan kaum, isu bendera’
“Kalau ada rakan-rakan yang punyai amanah tidak bersedia… beritahu saya, kita tukar mereka ambil orang yang berprinsip tegas dan berani bertindak ” kata Anwar.
Dia berkata demikian pada Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam Ke-20 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya.
Perdana menteri menegaskan pihak berkuasa mesti mengambil tindakan terhadap mereka yang mengapi-apikan sentimen perpecahan tanpa mengira status atau kedudukan.

Anwar berkata arahan itu dikeluarkan bukan demi meraih populariti, sebaliknya bagi mengelakkan berlakunya huru-hara seperti yang pernah terjadi pada masa lalu.
“Ini bukan saingan populariti, bukan saingan siapa yang lebih popular, siapa yang sanggup menarik minat rakyat. Ini soal menyelamatkan negara.
“Sudah tahu kita ada pengalaman bibit-bibit perpecahan dan tragedi rusuhan kaum mulanya kecil.
“Kali ini mungkin bendera, dulu mungkin siaran berita-berita palsu. Jangan diizinkan, mana boleh negara begitu,” katanya.

Arahan Anwar itu dikeluarkan ketika ketegangan awam memuncak susulan insiden Jalur Gemilang digantung terbalik.
Ini selepas pemilik sebuah kedai perkakasan di Pulau Pinang dirakam menggantung bendera negara itu secara terbalik.
Kejadian itu mencetuskan demonstrasi dengan lebih 100 orang berhimpun, termasuk Pemuda Umno dan Bersatu yang menyasarkan kedai tersebut di Kepala Batas.
Tunjuk perasaan di hadapan kedai berkenaan dikatakan untuk “mendidik” pemiliknya tentang cara memasang Jalur Gemilang dengan betul.

Ketua Pemuda Umno, Dr Akmal Saleh, antara tokoh politik yang lantang bersuara menentang perbuatan mencemarkan bendera negara, termasuk melalui kenyataan berbaur perkauman di Facebook.
Sementara itu, Zara Qairina ditemui tidak sedarkan diri dalam longkang di bawah asrama sekolahnya di Papar pada 16 Julai lalu dan meninggal dunia keesokan harinya di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu.
Keluarganya percaya insiden buli mungkin menjadi punca kematian pelajar Tingkatan Satu itu.
Kematian Zara mencetuskan pelbagai teori konspirasi, termasuk dakwaan wujudnya cubaan menutup kes.
Tular juga berita palsu di media sosial, antaranya tuduhan bahawa kematian Zara berpunca daripada individu yang dikaitkan dengan tokoh berpengaruh dan politik tertentu, yang kemudian menafikan tuduhan tersebut.