Anugerah Oscar Akan Distrim Secara Eksklusif Di YouTube Bermula 2029
Effi Saharudin
Anugerah Oscar adalah antara acara paling berprestij dalam dunia perfileman. FINAS menyasarkan filem tempatan dapat menjadi antara calon di anugerah Oscar sejak beberapa tahun lalu namun masih belum berjaya tetapi Tan Sir Michelle Yeoh menjadi rakyat Malaysia pertama memenangi anugerah dalam kategori pelakon wanita utama terbaik pada tahun 2023.

Setelah sekian lama perlu ditonton menerusi saluran TV, ia akan distrim secara eksklusif di YouTube bermula 2029. YouTube dan The Academy of Motion Picture Arts and Sciences menandatangani persetujuan untuk menayangkan anugerah Oscar di peringkat global secara eksklusif bermula 2029 sehingga 2033. Selama ini hak penyiaran dipegang oleh ABC dengan penonton di Malaysia hanya boleh mengikutinya menerusi saluran satelit berbayar.
Selain hak menayangkan Oscar, YouTube turut akan menerbitkan acara karpet merah, kandungan di sebalik tabir dan Google Arts & Culture menerima akses kepada koleksi Academy Museum. Mereka turut akan membantu Academy Museum mendigitalkan koleksi mereka untuk tatapan generasi masa depan.






