Antigravity A1 Ialah Dron Pertama Dengan Kemampuan Rakaman 8K 360 Darjah
Effi Saharudin
Dron Antigravity A1 telah diperlihatkan semalam sebagai dron pertama dengan kemampuan rakaman video 8K 360 darjah di dunia. Antigravity ialah anak syarikat Insta360 dan teknologi kamera syarikat induk digunakan pada dron A1.

Ia dilengkapi dengan dua kamera, satu di atas dan satu lagi di bahagian bawah tubuh dron. Teknologi Insta360 digunakan untuk menyambung video daripada kedua-dua kamera menjadi satu video sahaja dengan resolusi 8K. Yang menjadikan dron ini unik ialah kombinasi set kepala dan alat kawalannya.
Gogal Antigravity Vision membolehkan pengendali dron melihat pemandangan kamera secara 360 darjah. Di bahagian luar terdapat skrin sekunder berbentuk bulat yang membolehkan orang sekeliling melihat apa yang sedang dipandang oleh pengendali.

Alat kawalannya pula bukan seperti alat kawalan jauh dron standard. Antigravity Grip lebih mirip kayu kawalan kapal terbang dengan pergerakan dilakukan dengan gestur tangan. Untuk terbang ke atas, naikkan Grip ke atas dan untuk ke kiri atau kanan putarkan pergelangan tangan.

Antigravity belum mendedahkan spesifikasi penuh seperti masa penerbangan, jarak kawalan dan harga dengan ia hanya didedahkan apabila dron Antigravity A1 dilancarkan pada Januari 2026 nanti.
Komen
Sila log masuk untuk menghantar komen.