Anthropic Akan Mengambil-alih Syarikat Perisian Pengaturcaraan Bun
Nazrin
Anthropic ialah salah satu daripada syarikat pembangun teknologi AI yang digemari oleh pembangun-pembangun teknologi kecerdasan buatan yang lain. Dimana banyak syarikat AI lain memfokuskan pengeluaran teknologi AI generatif semata-mata, Anthropic telah membangunkan sebuah infrastruktur pengaturcaraan AI yang digunakan oleh para pembangun AI yang lain.
Jadi, jika pembangun teknologi AI rata-ratanya menggunakan teknologi Anthropic seperti Claude, Claude Code dan sebagainya, apakah yang digunakan oleh pembangun di Anthropic sendiri untuk membangunkan teknologi kecerdasan buatan mereka?
Anthropic kini dilihat sedang berada dalam proses untuk mengambil-alih syarikat pembangun perisian pengaturcaraan Bun, yang juga digunakan oleh Anthropic untuk proses pembangunan perisian mereka sendiri.

Bun merupakan perisian pengaturcaraan semua-dalam-satu yang boleh mengautomasikan tugas pengaturcaraan seperti menggerakkan kod perisian dan berfungsi sebagai pengurus pakej yang membolehkan pembangun memasang, mengurus, dan menjalankan pakej pengaturcaraan.
Ia juga dilihat sebagai sebuah pengganti kepada platform tindanan penuh Node.js yang hadir dengan fungsi yang berguna dan lebih cekap untuk mereka yang mengaturcara dalam bahasa pengaturcaraan Javascript.
Ini merupakan pengambil-alihan pertama Anthropic sejak syarikat tersebut mencatatkan pendapatan $1 bilion untuk pertama kalinya. Cuma nilai pengambil-alihan Bun tidak didedahkan buat masa ini. Tetapi Anthropic mengatakan bahawa platform pembangunan perisian mereka akan kekal sebagai perisian sumber terbuka dan boleh digunakan oleh orang ramai.
Komen
Sila log masuk untuk menghantar komen.






