Parkir di luar premis Fleximart yang terletak di Seksyen 7 Shah Alam itu sudah penuh menjelang jam 10 pagi. Orang ramai yang didorong rasa ingin tahu bertumpu di pintu masuk kedai itu.
Sebahagia daripada mereka memegang telefon genggam dan mencari peluang untuk bergambar bersama pencetus ilham kedai berkenaan, Rafizi Ramli, yang juga bekas menteri ekonomi.
Di dalam, aroma kari dan kopi segar memenuhi ruang udara ketika orang ramai berjalan melalui lorong-lorong pasar raya tersebut. Ada yang meneliti barang-barang di rak, sementara yang lain beratur di kaunter kafe.
Antara pengunjung hari pertama operasi Fleximart itu ialah jurutera, Fauzie Sufian, 53, dari Batu Muda, yang datang bersama isteri dan anaknya. Mereka hadir untuk melihat sendiri sama ada kedai serbaneka yang diasaskan di bawah inisiatif Ayuh Malaysia itu berbaloi untuk dilaburkan atau sebaliknya.
“Mungkin kami pun akan sertai sebagai pelabur. Nampak macam idea yang baik, terutama sebab kami dah hampir bersara.
“Ia macam satu lagi sumber pendapatan, sesuatu yang tetap setiap bulan — macam gaji.
“Harga barangan runcit tak jauh beza sangat, tapi makanan kafe tu masuk akal. Bawah RM5, ia membantu pelajar dan anak muda yang tinggal di kawasan ini,” katanya kepada Malaysiakini.
Diumumkan awal tahun ini, Ayuh Malaysia menandakan perubahan tumpuan Ahli Parlimen Pandan itu daripada politik barisan hadapan kepada pemerkasaan ekonomi akar umbi, dengan matlamat membina “sektor ketiga” di Malaysia — antara syarikat berorientasikan keuntungan dan NGO yang bergantung kepada derma.

Melalui rangkaian itu, Ayuh Malaysia berhasrat untuk melatih dan membiayai usahawan bagi membina perusahaan yang dapat mencipta pekerjaan, mengekalkan harga yang adil, dan memberi manfaat sosial yang nyata.
Fleximart ialah usaha pertama di bawah konsep tersebut. Ia sebuah kedai perintis yang mewakili misi perusahaan sosial melalui model yang menetapkan keuntungan dikongsi antara penyumbang modal, pekerja, dan orang awam.
Sekilas pandang, orang ramai yang hadir pada hari pembukaan itu kelihatan datang untuk berjumpa Rafizi, tetapi tidak lama kemudian, ramai mula duduk menikmati sarapan ringkas di meja kafe.
Saran lebih panas, lebih rendah
Kopi latte berharga antara RM3 hingga RM5 dengan cepat menjadi jualan terlaris, manakala pek nasi lemak dari mesin layan diri habis dijual sebelum tengah hari.
Mesin-mesin itu diisi dengan makanan yang disediakan oleh peserta Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) — kebanyakannya suri rumah dan usahawan kecil dari kumpulan B40.
Susun atur itu membolehkan mereka menjual makanan tanpa perlu menanggung kos sewaan kedai atau menggaji pekerja.
Rafizi menjelaskan model perniagaan itu boleh membantu pembekal dari rumah memperoleh beberapa ribu ringgit sebulan jika jualannya stabil. Ia menjadikannya mode berkenaan sebagai peluang rezeki yang mampan.
Pemandu e-hailing, Aiman Ahmad Saufi, 32, dari Bukit Raja, Kelang, berkata harga yang ditawarkan adalah berpatutan dan konsepnya menarik.
Cuma dia mencadangkan agar makanan yang dijual itu lebih panas atau lebih murah.

“Ia memang mudah. Makanan panas bagus kalau nak berhenti sekejap.
“Harga barangan runcit pun lebih kurang dengan kedai lain, tapi ada yang lebih murah — contohnya telur,” katanya sambil sedang menunggu kopi yang dipesan selepas mencuba makanan dari mesin layan diri.
Bagi Saribanon Saibon, inisiatif tersebut bukan sekadar tempat membeli-belah yang murah, tetapi usaha komuniti yang diharap dapat berkembang.
“Idea yang bagus untuk orang ramai. Kita boleh rasa makanan tu disediakan dengan ikhlas, bukan sambil lewa.
“Saya nak cuba tadi, tapi nasi lemak dah habis cepat!” kata kakitangan dengan Majlis Bandaraya Klang itu.
Sehari sebelumnya, lorong-lorong yang sama sibuk dengan persiapan untuk pelancaran semalam.
Para pekerja bergerak pantas di antara rak-rak yang ada. Mereka misalnya menyusun kotak telur dan bungkusan makanan ringan, sementara lori penghantaran bekalan berhenti di luar di bawah panas terik.

Tersorok di sudut kedai, mesin layan diri yang berdiri seperti penjaga senyap. Ia masih berbalut dengan plastik lut sinar dan sabar menunggu untuk dihidupkan.
Di belakang kaunter kafe, pengurus kedai, Abdul Hadi Suhaimie, sedang menguji mesin espresso, menggiling biji kopi segar menjelang pelancaran yang dinanti keesokan paginya.
“Kami jangka orang akan ramai esok (pada hari pembukaan),” katanya sambil menandatangani slip penghantaran untuk bungkusan yang baru tiba.
“Kafe akan jadi tarikan utama kami — tempat menjual makanan dan minuman panas bawah RM5,” tambahnya sambil tersenyum dan melaras mesin pengisar kopi itu.
Tak ada banyak masa
Dia berkata, selain kopi, kafe itu juga akan menawarkan ais krim, makanan panas, serta hidangan istimewa kedai tersebut — mi kari — sebagai sebahagian daripada menu utama.
“Kebanyakan kedai serbaneka membawa masuk budaya luar; kami mahu sesuatu yang mempunyai cita rasa tempatan,” katanya.
Abdul Hadi bergerak antara rak dan kafe, menanda penghantaran satu per satu sementara pembekal tiba membawa roti, barangan mandian dan telur.
Katanya, sebaik stok lengkap, mereka akan mula menampal tanda harga — sesuatu yang diharap dapat disiapkan sebelum malam.
Tiba sekitar tengah hari sehari sebelum pelancaran, Rafizi masuk dengan wajah optimis, meninjau lorong-lorong yang separuh siap sambil berhenti seketika memeriksa rak atau memantau stok yang baru sampai.
Wajahnya berganti antara renungan dan rasa bangga yang tenang.
“Kami hanya ada tiga hari untuk siapkan semuanya. Kena cepat supaya tak perlu bayar sewa tambahan untuk minggu mendatang,” katanya sambil memandang sekeliling kedai yang semakin siap.
Walaupun dikejar masa, suasana di dalam kedai kekal positif ketika pembekal terus menurunkan barangan masing-masing.
Sekilas pandang, Fleximart kelihatan seperti kedai serbaneka biasa dengan cahaya terang, lorong kemas dan kafe di pintu masuk.

Namun di sebalik susun atur rapi itu tersembunyi cabaran senyap terhadap cara masyarakat Malaysia berfikir tentang harga, nilai dan akses kepada barangan keperluan harian.
Idea Rafizi nampak mudah — menjual produk berkualiti dengan margin keuntungan yang kecil tetapi dalam jumlah jualan tinggi. Ia adalah usaha mencabar tanggapan awam bahawa kenaikan harga adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan.
“Kalau jual Americano, selepas kira semua bahan mentah dan kos operasi, satu cawan cuma sekitar RM3.50, jadi kita boleh nampak berapa besar margin yang biasa diambil pihak lain.
“Apabila kita kira satu per satu, barulah nampak bahawa dengan margin tipis tapi jumlah jualan cukup besar, kos masih boleh ditampung,” katanya.
Rafizi menambah usaha itu juga bertujuan mencetuskan perbincangan lebih luas mengenai kenaikan harga makanan, terutamanya makanan siap masak yang terus meningkat dari tahun ke tahun.
“Kadar inflasi makanan siap masak biasanya sekitar enam peratus, dan bagi kebanyakan isi rumah, perbelanjaan terbesar sebenarnya untuk makanan.
“Apabila kita bandingkan harga bahan mentah dengan harga jualan akhir, jurangnya sangat besar — dan itulah yang kami mahu cabar,” kata bekas timbalan presiden PKR itu.
Walaupun suasana pelancaran penuh semangat, beberapa kekangan turut diakui — termasuk keputusan untuk tidak memohon subsidi Sumbangan Asas Rahmah (Sara) yang tidak lagi tersedia kerana program itu hampir tamat dan proses permohonannya panjang.
Rafizi memaklumkan dalam tempoh dua bulan akan datang, pasukannya akan memantau dengan teliti bagaimana pelanggan memberi maklum balas terhadap kafe tersebut sebelum membentangkan hasil inisiatif ini kepada orang ramai.






