Bekas menteri Wilayah Persekutuan, Annuar Musa perlu tampil memberi penjelasan berhubung kemelut yang melanda Kampung Sungai Baru, kata ketua cabang PKR Titiwangsa, Syed Badli Shah Syed Osman.
Menurutnya, Annuar sepatutnya mengambil tanggungjawab kerana kelulusan pewartaan Akta Pengambilan Tanah 1960 pada Jun 2021 berlaku ketika bekas pemimpin Umno itu memegang jawatan menteri.
“Adalah pengecut jika beliau (Annuar) terus mendiamkan diri sedangkan aktivis-aktivis pembangkang terus digerakkan untuk menyerang kerajaan dalam isu ini,” kata Syed Badli dalam satu kenyataan hari ini.
Sebelum ini, bekas menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad dan pengganti Annuar, Shahidan Kassim telah tampil mempertahankan diri masing-masing susulan insiden pengusiran penduduk pada 11 Sept yang berakhir dengan kekecohan.
Pengusiran itu dilakukan melalui perintah mahkamah bagi memberi laluan kepada projek pembangunan semula oleh KL City Gateway Sdn Bhd.
Syed Badli turut mempersoalkan bagaimana Akta Pengambilan Tanah boleh diwartakan pada tahun 2021 sedangkan negara masih berada di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Parlimen juga tidak bersidang ketika itu.

Pemimpin PKR itu juga membidas Shahidan yang sebelum ini menyatakan bahawa dia mahupun menteri sebelum itu tidak mempunyai kuasa eksekutif dalam meluluskan pengambilalihan tanah Kampung Sungai Baru, kerana kuasa tersebut terletak pada Ketua Setiausaha Negara.
“Adalah agak pelik sekiranya menteri tidak mengetahui tentang pewartaan ini seperti mana yang dijelaskan oleh Dato Seri Shahidan Kassim yang menunding jari ke arah ketua setiausaha negara.
“Tentunya setiap tindakan eksekutif terlebih lagi melibatkan perwataan akta tertentu akan dilaporkan terlebih dahulu ke peringkat menteri berkenaan untuk dibawa ke pengetahuan kabinet,” kata Syed Badli.
Henti guna ‘watak’ tertentu
Dia turut mempersoalkan bagaimana seorang menteri boleh berlepas diri dengan menyalahkan pihak eksekutif sedangkan eksekutif hanya menjalankan tugas tanpa boleh melangkau kuasa menteri.

Dalam pada itu Syed Badli turut menggesa pihak pembangkang berhenti menggunakan “watak-watak tertentu” untuk membawa naratif bagi menyalahkan kerajaan, sambil menegaskan bahawa kemelut ini jelas berpunca daripada pentadbiran PN.
“Justeru itu saya menggesa Tan Sri Annuar Musa tampil beri penjelasan dan bukannya terus mendiamkan diri seperti seorang pengecut,” kata Syed Badli yang juga merupakan ahli majlis penasihat Perbadanan Pembangunan Kampung Baru (PKB).
Projek pembangunan semula Kampung Sungai Baru, yang terletak berhampiran Jambatan Saloma Link, stesen LRT Kampung Baru dan berlatarkan Menara Berkembar Petronas, tertangguh hampir 10 tahun kerana isu pampasan.
Sebahagian penduduk membantah tanah mereka diambil secara paksa melalui Akta Pengambilan Tanah 1960.