KLANG: Tourism Selangor terus memperkasa sektor pelancongan di Anjung Utara Selangor dengan memperkenalkan pelbagai produk baharu dan meningkatkan promosi sedia ada melalui pelantikan 49 Hos Komuniti Setempat Selangor (HKSS) yang akan menjadi duta pelancongan daerah Sabak Bernam dan Kuala Selangor.
Pelantikan itu membolehkan dua daerah bersejarah dan terkenal dengan agro pelancongan tersebut terus segar dengan aktiviti serta tarikan terkini, sekali gus memperkukuh kedudukan Anjung Utara Selangor sebagai destinasi pelancongan utama negeri ini.
Exco Pelancongan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Ng Suee Lim berkata, langkah itu penting bagi memastikan setiap produk pelancongan di peringkat akar umbi terus mendapat perhatian dan mampu menarik pelancong tempatan serta antarabangsa.
“Kawasan Sekinchan, Sabak Bernam dan Kuala Selangor sudah terkenal dengan produk pelancongan seperti sawah padi, pantai dan inap desa. Namun dengan adanya HKSS, kita dapat mempromosikan lebih banyak tarikan baharu termasuk aktiviti kampung dan warisan budaya tempatan,” katanya pada Majlis Graduasi HKSS 2025.
Menurut Suee Lim, sebanyak 140 rumah inap desa di Sabak Bernam mampu dimanfaatkan sebagai pemangkin kepada pertumbuhan sektor pelancongan agro dengan lebih rancak.
“Saya mahu semua 49 graduan HKSS benar-benar berperanan sebagai hos komuniti yang memahami potensi kampung masing-masing. Mereka perlu menambah ilmu untuk menceritakan perkara menarik tentang komuniti dan menonjolkan produk pelancongan baharu,” katanya.
Program HKSS merupakan inisiatif latihan kepada penduduk setempat yang dijalankan selama enam bulan pada hujung minggu melalui modul-modul pelancongan yang disusun khas oleh Tourism Selangor.
Program itu mula diperkenalkan pada 2018 dengan 21 peserta, diteruskan pada 2019 (30 peserta) dan kini 49 peserta pada 2025, menunjukkan peningkatan minat penduduk terhadap bidang pelancongan komuniti.
Modul latihan berkenaan memberi pengetahuan, kemahiran dan pensijilan kepada peserta agar mampu menjadi hos pelancongan rasmi serta meningkatkan jumlah kehadiran pelancong ke Kuala Selangor dan Sabak Bernam antara 5,000 hingga 10,000 orang setiap tahun.
Suee Lim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sekinchan berkata, program HKSS turut menyokong visi Pelan Rancangan Selangor Pertama (RS1) melalui projek Sabak Bernam Development Area (SABDA) yang menumpukan kepada agro pelancongan, warisan budaya dan pengalaman tempatan autentik.
“Dengan adanya hos komuniti yang terlatih, destinasi seperti Sabak Bernam dan Kuala Selangor akan menjadi contoh terbaik pelancongan berasaskan komuniti yang memberi manfaat langsung kepada ekonomi dan sosial penduduk,” katanya.
Katanya lagi, program itu turut mendapat sokongan padu daripada Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) dan Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) yang berperanan memastikan pembangunan pelancongan selaras dengan keperluan infrastruktur tempatan.

Sementara itu, peserta HKSS, Ummi Nabilah Shafry, 32, berkata, program tersebut memberi peluang kepada penduduk kampung untuk memainkan peranan lebih besar dalam memperkenalkan produk tempatan yang sebelum ini kurang mendapat perhatian.
“Kami belajar cara mendekati penduduk dan mengenal pasti aktiviti atau hasil kerja tangan yang boleh dijadikan produk pelancongan seperti pembuatan atap nipah, wau kapal dan keris tradisional. Ramai orang kampung berbakat, cuma tidak diuar-uarkan,” katanya.
Peserta, K. Balamurugan, 40, asal dari Sabak Bernam, berkata, pelantikan sebagai hos komuniti memberi peluang kepadanya untuk mempromosikan kampung halaman sendiri yang kaya dengan budaya dan adat masyarakat pelbagai kaum.
“Sebelum ini saya bekerja sebagai pemandu teksi dan sering membawa pelancong ke luar kawasan. Kini saya mahu mereka datang ke kampung saya sendiri yang terkenal dengan keindahan alam semula jadi, pertanian dan perikanan tradisional,” katanya.
Pelaksanaan program HKSS dijangka memberi impak positif terhadap ekonomi luar bandar dan meningkatkan daya tarikan pelancongan Anjung Utara Selangor sebagai destinasi berasaskan komuniti yang mampan, progresif serta kaya dengan nilai tempatan. – UTUSAN






