Malaysia Oversight

Anggur subur di Kelantan hasil inovasi KV Pasir Puteh

By Utusan in September 10, 2025 – Reading time 3 minute
Anggur subur di Kelantan hasil inovasi KV Pasir Puteh


Jika dahulu anggur hanya sinonim dengan negara beriklim sejuk, hari ini Kolej Vokasional Pasir Puteh (KVPP) membuktikan sebaliknya buah bernilai tinggi itu kini mula merimbun di bumi hasil inovasi pertanian moden pelajar tempatan.

Utusan Pelajar page 17 18 ANGGUR GAMBAR new

Menjadi satu-satunya institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di negeri ini yang menawarkan Program Agroindustri Tanaman, KVPP kini bukan sekadar melahirkan pelajar mahir, malah turut menjadi perintis kepada teknologi penanaman anggur berskala ladang di tanah tropika, khususnya di kawasan tanah gambut seperti Gong Chokoh.

Utusan Pelajar page 17 18 ANGGUR GAMBAR3

Selepas mencipta nama menerusi kejayaan penanaman melon berkualiti tinggi yang diberi jolokan ‘Mr. Melon Kementerian Pendidikan’, kini KVPP melangkah lebih jauh meneroka potensi tanaman anggur.

Dua varieti anggur iaitu Jupiter dan Muscat berjaya ditanam di kawasan bekas sawah yang berasaskan tanah gambut. Keadaan ini sememangnya mencabar memandangkan habitat asal pokok anggur memerlukan cuaca kering dan tanah yang sesuai.

Utusan Pelajar page 17 18 ANGGUR GAMBAR5

 

Namun, berkat komitmen lebih 200 pelajar Program Agroindustri Tanaman kolej berkenaan sejak tahun 2022, usaha tersebut membuahkan hasil. Malah, tanaman anggur KVPP menunjukkan kadar kemanisan brik yang tinggi, setanding anggur import.

Pelajar program tersebut, Muhammad Naeim Mukhlies Mohd. Nazri, 17, berkata, pelbagai penyelidikan dan pembangunan (R&D) telah dijalankan termasuk kaedah membesarkan saiz buah, pemanisan buah serta pengurusan nutrisi tanaman.

“Pada mulanya saya tidak sangka pokok anggur yang berasal dari luar negara boleh ditanam di sini dan menghasilkan buah yang manis serta berkualiti.

“KVPP membuka minda kami. Kami belajar bukan hanya secara teori, tetapi juga amali di ladang,” katanya ketika ditemui Utusan Pelajar di tapak kajian tanaman kolej itu.

KVPP turut menyasarkan untuk menembusi pasaran eksport menerusi jenama Mr. Melon serta menghasilkan produk hiliran seperti jus, asam dan aiskrim berasaskan melon.

Sebanyak 14 rumah tanaman disediakan di KVPP, termasuk 10 untuk melon, satu untuk anggur, satu sistem NFT dan satu tanaman konvensional. Rumah hijau yang bersaiz 8.3 meter lebar dan 15.2 meter panjang ini turut menjadi tumpuan institusi luar yang datang untuk belajar dan membuat lawatan sambil belajar.

Seorang lagi pelajar, Qaff Aqyum Alif Azafar Jefrizin, 17, pula berkata, KVPP bukan sekadar pusat pembelajaran, malah menjadi medan mencungkil potensi pelajar dalam sektor pertanian moden.

“Tanaman melon dan anggur menjadi ikon kolej. Kami turut didedahkan dengan teknologi pertanian terkini dan berpeluang menyambung pelajaran ke tahap yang lebih tinggi,” katanya.
Qaff menambah, kejayaan penanaman anggur ini menunjukkan bahawa varieti yang sesuai dan teknik pertanian moden mampu mengatasi cabaran cuaca tropika Malaysia,” ujarnya.

Setakat ini, varieti anggur seperti Jupiter, IAC dan Isabella dikenal pasti sesuai untuk ditanam di Malaysia. Kaedah penanaman menggunakan keratan batang serta cantuman baji turut diajar sebagai langkah pencegahan terhadap penyakit seperti nematod dan phylloxera.

KVPP bukan sekadar mencipta kejayaan dalam pendidikan, tetapi meletakkan asas kukuh bagi masa depan pertanian negara menerusi pendidikan TVET yang praktikal dan inovatif. – UTUSAN





Source link