Anduril EagleEye Memberikan Kemampuan Seakan Iron Man Di Medan Perang
Effi Saharudin
Anduril mengambil alih projek pembangunan set kepala realiti terimbuh (AR) IVAS daripada Microsoft tahun lalu. Selepas AVAS gagal memenuhi keperluan tentera Amerika Syarikat, Anduril berkata mereka akan membangunkan set baharu yang diberi nama EagleEye. Semalam akhirnya rekaan sebenar EagleEye diperlihatkan secara rasmi.

EagleEye dilengkapi pelbagai kamera dan sensor yang boleh memberikan kemampuan melihat dalam gelap dan lensa dengan skrin terbina untuk memaparkan maklumat penting di medan perang. Peta, lokasi musuh, kompas dan kawalan pelbagai peranti adalah antara yang disokong. Di medan perang EagleEye boleh digunakan seperti helmet biasa atau dengan topeng yang melindungi muka membuatkan pemakai kelihatan seperti Iron Man.

Menurut pengasas Anduril, Palmer Luckey – EagleEye turut membolehkan askar infantri mengawal dron dan robot. Eagle eye menyokong ekosistem Lattice yang dibangunkan oleh syarikat dengan ia turut menyokong dron serta peluru berpandu yang dibangunkan oleh syarikat. Untuk menjayakan EagleEye, Anduril bekerjasama dengan Meta, OSI, Qualcomm dan Gentex Corporation.
Komen
Sila log masuk untuk menghantar komen.






