GEORGE TOWN : Penganjuran ASEAN Navies City Parade (ANCP) di Pulau Pinang pada tahun ini melakar sejarah yang tersendiri apabila ia berjaya menarik kehadiran sehingga 40,000 pengunjung sepanjang program itu berlangsung.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, pencapaian tersebut dianggap membanggakan kerana kali terakhir ANCP diadakan di negeri ini ialah pada 19 Mei 1990 sempena International Fleet Review.
Uniknya, kata beliau, ANCP kali ini diadakan bersempena dengan sambutan Hari Buletin 4.0 iaitu satu program tahunan yang dianjurkan oleh kerajaan negeri.
“Penganjuran ANCP bukan sahaja memperlihatkan kecanggihan aset-aset armada laut serantau termasuk 10 kapal perang yang berlabuh di perairan Pulau Pinang, malah, ia turut memberikan pengalaman luar biasa kepada rakyat untuk melihat secara lebih dekat keupayaan pasukan pertahanan maritim.
“Inisiatif ini juga seiring dengan semangat Penang2030 Vision iaitu untuk menjadikan Pulau Pinang sebagai sebuah negeri yang progresif, inklusif dan berdaya huni,” katanya pada majlis penutup program tersebut di Padang Kota Lama di sini, petang ini.
Difahamkan, ANCP merupakan inisiatif oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bagi memperkenal serta mempromosikan tradisi ketenteraan laut kepada masyarakat umum, membabitkan perarakan kontinjen daripada 10 kapal tentera laut negara ASEAN.
Sepuluh kapal tersebut terdiri daripada tiga buah kapal milik TLDM serta masing-masing sebuah kapal dari Brunei, Filipina, Indonesia, Myanmar, Singapura, Thailand dan Vietnam yang tiba di Swettenham Pier Cruise Terminal sejak kelmarin.

Terdahulu, iaitu pada sebelah pagi, Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ramli Ngah Talib sempat meluangkan masa untuk memeriksa perbarisan kawalan kehormat ANCP.
Selain isteri beliau, Toh Puan Raja Noora Ashikin Raja Abdullah, turut hadir ialah Speaker Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang, Datuk Seri Law Choo Kiang; Panglima Tentera Laut, Laksamana Madya Datuk Zulhelmy Ithnain, Exco-exco kerajaan negeri serta barisan kenamaan lain.
Menurut penganjur, ANCP merupakan sebahagian daripada aktivi yang dijalankan bagi pengisian Eksesais Tentera laut Multilateral ASEAN (AMNEX) ketiga yang berlangsung selama tujuh hari.
Selain AMNEX, dua lagi acara penting yang melibatkan tentera laut dari negara ASEAN ialah Mesyuarat Panglima Tentera Laut Negara ASEAN (ANCM) ke-19 serta ASEAN Fleet REview (AFR) yang akan berlangsung di beberapa lokasi sekitar George Town dan Batu Feringghi.-UTUSAN