Timbalan Presiden PKR Nurul Izzah Anwar menyuarakan kekecewaannya apabila pemimpin kanan PAS mempertahankan kenyataan yang menyamakan wanita memegang jawatan kepimpinan dengan “lembu betina”, yang menurutnya sebagai tidak mencerminkan akhlak Islam.
Dia merujuk Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man yang berkata kenyataan yang dibuat oleh Ketua Penerangan Pemuda PAS Maran, Muhammad Salman Al Farisi hanyalah analogi biasa dan tidak berniat menghina wanita.
“Lebih mengecewakan, kenyataan itu bukan sahaja tidak ditarik balik, bahkan mendapat sokongan pemimpin kanan parti tersebut.
“Kalau inilah wajah politik Islam yang mereka perjuangkan, maka jelas ia hanya tinggal slogan – tanpa roh agama, tanpa akhlak.
“Islam tidak pernah menghina wanita, apatah lagi wanita yang memikul tanggungjawab kepimpinan dengan penuh amanah dan pengorbanan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Pada 3 Ogos lalu, Muhammad Salman mengeluarkan kenyataan yang menekankan kepentingan kepimpinan lelaki dalam masyarakat dengan memberikan analogi daripada pengalamannya menternak lembu selama lebih setahun.
Menurutnya, berdasarkan pemerhatian semasa menguruskan ternakan, lembu betina sering memimpin kumpulan ternakan, manakala lembu jantan hanya berperanan menjaga keselamatan kawanan.
“Sepanjang setahun lebih ternak lembu ini, saya perasan yang di antara lembu jantan atau betina, lembu betina lebih bersifat ketua. Lembu betinalah yang akan bawa lembu jantan ke tempat ragut, berehat di mana dan balik jam berapa.
“Sebab itulah kalau boleh, kita jangan jadi seperti lembu yang mengangkat ‘betina’ sebagai ketua. Lelaki sepatutnya menjadi ketua, dan ini seiring dengan ayat al-Quran dalam Surah An-Nisa ayat 34,” tambahnya, merujuk kepada ayat yang menegaskan peranan lelaki sebagai pemimpin dalam keluarga dan masyarakat.

Selepas dikecam pelbagai pihak, Tuan Ibrahim tampil mempertahankan Muhammad Salman, dengan berkata kenyataan itu perlu difahami sebagai satu bentuk analogi biasa dalam penulisan.
“Saya tidak nampak apa yang seksisnya pada kenyataan tersebut. Ia (merupakan) satu analogi daripada perspektif dia (Muhammad Salman), bukan (satu bentuk) merendahkan martabat wanita pun,” kata Tuan Ibrahim.
Mengulas lanjut, Nurul Izzah berkata wanita bukan golongan kelas kedua mahupun simbol kelemahan.
Malah, katanya, sejarah Islam telah merekodkan lebih 10,000 wanita yang menjadi perawi hadis yang dipercayai, dihormati dan diakui ketokohannya oleh para ulama.
Wanita juga bukan pendatang baru dalam kepimpinan bahkan merupakan kesinambungan satu legasi yang berakar jauh dalam sejarah Islam, katanya lagi.
“Apabila seseorang menyamakan wanita dengan binatang, dan seorang lagi pemimpin mempertahankannya, mereka bukan mempertahankan agama kita.
“Saya tidak terhina dengan kata-kata sinis itu. Tapi saya kesal kerana ia keluar dari seorang pemimpin yang mendakwa memperjuangkan Islam,” katanya lagi.