Malaysia Oversight

Anak Tommy Thomas cabar PM Australia dalam pilihan raya

By MkiniBM in April 28, 2025 – Reading time 2 minute
Anak Tommy Thomas cabar PM Australia dalam pilihan raya


Hannah Thomas, iaitu anak kepada bekas peguam negara Tommy Thomas – akan bertanding dalam pilihan raya Australia mewakili parti Greens.

Thomas akan bertanding di Parlimen Grayndler, dengan salah seorang pesaingnya ialah perdana menteri sementara Anthony Albanese, yang menyandang kerusi itu.

“Ia sesuatu yang luar biasa untuk dilakukan, pada masa sama amat mengujakan,” katanya dalam temu bual dengan The Feed SBS.

Thomas berhijrah ke Australia pada 2009 sebagai pelajar antarabangsa. Tidak jelas bila dia menjadi warganegara Australia.

Dia merupakan calon termuda yang bertanding di Grayndler. Albanese memegang kerusi itu sejak 1996.

Parti Buruh pimpinan Albanese telah meletakkan nama Thomas sebagai pilihan kedua dalam kad panduan mengundi di kerusi tersebut.

Australia mengamalkan sistem undi pilihan, di mana pengundi boleh menyusun calon mengikut pilihan mereka.

f9a6b30a10e4a6c9a27b026149185da9
Anthony Albanese

Dalam kes Thomas, jika tiada calon yang mendapat lebih daripada 50 peratus undi dan Albanese mendapat undi kurang daripada Thomas, maka undi Parti Buruh akan dipindahkan kepada Greens – sekiranya pengundi meletakkan Greens sebagai pilihan seterusnya.

Parti Greens pula meletakkan Albanese sebagai pilihan ketiga dalam kad panduan mengundi mereka.

Keputusan Parti Buruh ini telah dikritik oleh sesetengah pihak di Australia kerana aktivisme Thomas yang menyokong Gaza.

Dalam satu temu bual yang dimuat naik di laman web parti Greens, Thomas berkata keterlibatan pentadbiran Albanese dalam genosid di Gaza merupakan salah satu sebab yang mendorongnya untuk bertanding.

“Menyaksikan genosid yang disiarkan secara langsung di kawasan pilihan raya perdana menteri adalah sesuatu yang terlalu sukar untuk diterima.

“Terdapat sangat sedikit orang di dunia ini yang ada kuasa untuk mengekang mesin perang Israel ketika ia membunuh begitu ramai rakyat Palestin, dan ahli Parlimen kawasan kita adalah salah seorang daripada mereka.

“Namun dia gagal mengambil tindakan dan perlu dipertanggungjawabkan,” katanya.

Thomas turut berkata dia terdorong untuk melawan Albanese kerana dasar antipelariannya dan kerana menyalahkan imigran atas krisis perumahan dan kos sara hidup di negara itu.

Pilihan raya Australia akan diadakan pada 3 Mei ini.



Source link