Malaysia Oversight

Anak Siti Saerah harus ditegur?

By Utusan in September 14, 2025 – Reading time 2 minute
Anak Siti Saerah harus ditegur?


Cik Bunga terkejut juga apabila baru-baru ini, nama anak Siti Saerah, Amad, menjadi sebutan ramai.

Iya, memanglah dia jadi sebutan ramai sejak dikenali sebagai penyanyi cilik bersuara sedap. Selepas itu, Amad pula menyertai program realiti Talk To My Manager di Astro.

Makna kata, Cik Bunga serta semua rakyat Malaysia ini tidak menafikan bahawa Amad mempunyai bakat seni yang sangat berpotensi besar untuk menjadi pelapis anak seni.

Maklumlah, Amad pun datangnya dari susur galur keluarga seni juga. Jangan main-main, mak dia pun penyanyi, ibu saudaranya pula, siapa tidak kenal, Biduanita Negara?

Jadi, apa yang Cik Bunga hairan itu, dengar-dengarnya, ramai kalangan orang belakang tabir termasuk pengamal media seakan kurang senang dengan sikap anak kecil ini yang cepat benar menjawab tidak kena tempat dan cara apabila berbicara dengan orang dewasa.

Adalah beberapa orang yang beritahu pada Cik Bunga. Kata mereka dalam nada baik, tidak marah, seharusnya Saerah perlu melatih Amad dari segi berkomunikasi dengan orang ramai termasuk dengan orang dalam dunia seni.

Sebab, tidak kena cara, memang dengar seakan tidak sopan. Cik Bunga tidak kata dia budak yang biadab, tidak begitu. Cuma mungkin dalam beberapa keadaan, bunyi bicaranya seakan tidak kena cara. Terutama apabila berbicara dengan orang lebih dewasa.

Cik Bunga rasa, keadaan ini berbeza dengan sikap kakak Amad iaitu, Ummi Umairah. Lebih mesra disapa sebagai Umai, gadis manis ini lebih pandai dalam bab komunikasi. Sopan dan lembut sahaja butir bicaranya.

Jadi, kalau benarlah bagai dikata Amad kurang latihan dalam bab komunikasi, Cik Bunga rasa, Saerah kena ambil perhatian juga bab ini jangan terlepas pandang.

Perkara ini penting juga sebab jika tidak dilentur dari awal, kelak susah hendak didik di kemudian hari. Cik Bunga benar-benar harap Saerah ambil teguran ini dengan baik. Sebab ramai orang sayang keluarga Saerah.





Source link