Anak kepada pemimpin Myanmar yang dipenjarakan, Aung San Suu Kyi menzahirkan kebimbangan serius mengenai kesihatan dan keselamatan ibunya dalam satu rakaman video di media sosial, sambil menggesa pembebasan segera beliau, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Kim Aris berkata pemenang Hadiah Nobel Keamanan berusia 80 tahun itu kini mengalami komplikasi jantung yang semakin meruncing dalam satu video di Facebook yang disiarkan pada Jumaat.
“Daripada apa yang saya tahu, beliau telah meminta untuk berjumpa pakar kardiologi tetapi tiada siapa tahu di mana beliau ditahan atau sama ada beliau menerima rawatan,” katanya.
Menyifatkan keadaan itu sebagai “kejam, mengancam nyawa dan tidak boleh diterima”, Aris menggesa supaya Suu Kyi serta semua tahanan politik dibebaskan, sambil menekankan pembebasan mereka penting bukan sahaja demi keselamatan tetapi juga masa depan Myanmar.
Dalam video itu, beliau memakai kemeja-T yang memaparkan gambar wajah ibunya dengan di atas gambar itu tertera tulisan: “Never give up OUR Hope.”
Suu Kyi ditahan sejak rampasan kuasa tentera pada Februari 2021 yang menggulingkan kerajaannya selepas beliau memenangi pilihan raya dengan majoriti besar pada 2020. Sejak itu, tentera menjatuhkan pelbagai hukuman ke atasnya, yang secara meluas dilihat pemerhati antarabangsa sebagai bermotifkan politik.
Butiran mengenai kesihatan Suu Kyi hanya sekali-sekala sampai kepada pengetahuan umum. Laporan sebelum ini menyebut beliau mengalami masalah gusi yang menyukarkannya untuk makan secara normal. Menurut laporan, kerajaan tentera Myanmar juga gagal memberi respons mencukupi terhadap permintaan rawatannya.
Penahanannya mendapat kritikan global dengan kumpulan hak asasi manusia serta kerajaan asing berulang kali menggesa pembebasannya dan menyuarakan kebimbangan terhadap keadaan kesihatan serta aksesnya kepada rawatan perubatan.
– Bernama-dpa