Malaysia Oversight

Anak Bung Moktar jadi calon BN untuk PRK Kinabatangan

By MkiniBM in December 20, 2025 – Reading time 1 minute
Anak Bung Moktar jadi calon BN untuk PRK Kinabatangan


Anak Allahyarham Bung Moktar Radin, Naim Kurniawan, diumum sebagai calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan.

Perkara itu dikongsikan Ahli Majlis Kerja Tertinggi , Ahmad Maslan, menerusi hantaran di Facebook, malam tadi.

“Calon untuk kawasan Parlimen Kinabatangan telah diumum Pengerusi Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Majlis Makan Malam BN di Hotel Premiera iaitu Naim Kurniawan Moktar.

“Diyakini beliau diterima baik oleh rakyat di sana,” katanya.

Naim Kurniawan ketika dihubungi Bernama pula berkata dia menerima amanah dan kepercayaan yang diberikan kepimpinan dan BN itu bagi menyambung legasi parti itu di Parlimen Kinabatangan.

“Saya terima baik amanah yang diberikan ini meskipun saya tahu ia bukan mudah, kerana kawasan Parlimen Kinabatangan ini seluas negeri Pahang.

“Bagaimanapun, saya sedia mengalas amanah ini dengan sebaiknya agar suara rakyat Kinabatangan terus terbela,” katanya.

Naim Kurniawan berkata penerimaan pimpinan dan ahli pada peringkat akar umbi amat baik dan memberikan sokongan penuh terhadapnya untuk mempertahankan kerusi berkenaan.

Kerusi Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag kosong selepas penyandangnya, Bung Moktar, yang juga Pengerusi BN Sabah, meninggal dunia pada 5 Dis.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari pengundian bagi PRK Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag pada 24 Jan 2026, manakala penamaan calon dan pengundian awal masing-masing pada 10 dan 20 Jan.

Bung Moktar berjaya mempertahankan kerusi DUN Lamag pada Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17 pada 29 Nov lalu.

Bernama



Source link