PRK AYER KUNING | Anak kepada bekas Adun Ayer Kuning, Ishsam Shahruddin, membuat laporan polis terhadap PN atas dakwaan menyalahgunakan nama akademi bola sepak milik arwah bapanya dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN tersebut.
Menurut Isnabil Ishsam, Akademi Bola Sepak YB Haji Ishsam (AYBI FC) yang diasaskan arwah bapanya digunakan oleh PN untuk mempromosikan satu perlawanan bola sepak persahabatan yang dijadualkan berlangsung malam esok.
Isnabil berkata dia dan keluarganya hanya menyedari penggunaan nama AYBI FC dalam poster perlawanan bola sepak tersebut setelah dimaklumkan oleh seorang rakan baru-baru ini.
“Kami tidak dimaklumkan mengenai penggunaan nama ini.
“Saya membuat semakan dan pada awalnya tiada siapapun (memaklumkan penggunaan nama akademi berkenaan) tetapi mereka guna sahaja nama akademi ini,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat Umno Tapah hari ini.

Tambah Isnabil, selepas dia dan keluarganya menegur penggunaan nama akademi tersebut, pihak penganjur telah mengubah poster dan menggantikan nama AYBI FC dengan “Yus Tapah”, iaitu setiausaha kepada arwah bapanya dalam pengurusan akademi tersebut.
Isnabil memaklumkan bahawa dia telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah, dan menggesa agar semua poster berkaitan diturunkan segera kerana telah mengaitkan arwah bapanya secara salah dengan program anjuran PN.
“Saya tak ada hubungi mana-mana pemimpin PN untuk menggesa mereka menurunkan bahan hebahan berkenaan, sebaliknya terus membuat laporan polis,” tambahnya.
Isnabil menegaskan bahawa arwah bapanya tiada sebarang kaitan dengan PN kerana sebagai bekas Ketua Umno bahagian Tapah, Allahyarham sentiasa mendahulukan perjuangan bersama BN.
Ini bukan kali pertama PN didakwa menyalahgunakan imej berkaitan Umno dalam bahan kempen mereka.
Sebelum ini, gabungan tersebut menerima kritikan selepas isteri kepada seorang ahli BN membuat laporan polis, mendakwa gambar suaminya digunakan dalam poster PN tanpa kebenaran.
Individu terbabit dikatakan memegang jawatan dalam Pusat Daerah Mengundi (PDM) BN Temoh Stesen.

Mengulas aduan tersebut, calon PN di Ayer Kuning, Abd Muhaimin Malek berkata sebagai calon untuk semua, dia tidak mahu bermusuh dan terbuka untuk berkawan dengan sesiapa sahaja.
Pilihan raya kecil ini diadakan susulan kematian Ishsam pada 22 Feb lalu akibat serangan jantung.
PRK itu menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara PN, BN dan PSM.
BN diwakili Setiausaha Umno Tapah, Yusri Bakir manakala PSM diwakili oleh timbalan setiausaha agungnya, Bawani KS.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari mengundi pada 26 April ini.