Malaysia Oversight

‘Amung Kamaruddin’ ditahan disyaki ugut pakar patologi

By MkiniBM in September 7, 2025 – Reading time 1 minute
'Amung Kamaruddin' ditahan disyaki ugut pakar patologi


Polis telah menahan seorang lelaki berusia 61 tahun di Semporna pagi tadi kerana disyaki mengugut pakar patologi yang terlibat dalam inkues Zara Qairina Mahathir.

Pesuruhjaya Polis Sabah Jauteh Dikun berkata tangkapan berkenaan dilakukan kira-kira jam 7 pagi di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna.

Katanya, pada Jumaat lalu polis menerima laporan mengenai kenyataan di laman Facebook yang mengandungi ugutan jenayah terhadap pakar patologi Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth I, Dr Jessie Hiu.

“Hasil semakan awal ke atas sebuah telefon bimbit jenama yang dirampas mendapati suspek adalah pemilik akaun Facebook Amung Kamaruddin yang mengeluarkan kenyataan berbaur ugutan terhadap pakar patologi terbabit,” katanya dalam kenyataan di Kota Kinabalu hari ini.

Jauteh berkata kes disiasat mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998.

Dia turut menasihatkan orang ramai supaya menggunakan media sosial secara berhemah dan bertanggungjawab, serta mengelak kenyataan yang boleh menjejaskan ketenteraman awam dan menimbulkan keresahan masyarakat.

Zara Qairina, 13, disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth pada 17 Julai. Dia dimasukkan ke hospital sehari sebelumnya selepas ditemukan tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama sekolahnya di Papar pada 4 pagi.

Bernama



Source link