Muda menempelak pimpinan Umno Johor yang mengkritik kempen #DakwaSemulaZahid dan menolak dakwaan yang inisiatif itu menjejaskan keyakinan rakyat terhadap badan kehakiman.
Timbalan Ketua Biro Komunikasi Muda, Rasid Abu Bakar menegaskan kempen untuk mendakwa semula Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi berasaskan prinsip undang-undang, bukannya politik.
“Hakim telah memutuskan wujud kes prima facie terhadap Zahid.
“Namun Pejabat Peguam Negara memilih untuk memohon lepas tanpa bebas (DNAA), iaitu pelepasan sementara yang membolehkan kes dibuka semula.
“Menyamakan DNAA dengan pembebasan penuh adalah salah dari segi undang-undang dan mengelirukan rakyat,” kata Rasid dalam kenyataan hari ini.
Katanya lagi, rakyat ada hak untuk mempersoalkan mengapa seorang Timbalan Perdana Menteri diberi DNAA sedangkan rakyat biasa tetap perlu menjalani perbicaraan penuh.
“Tuntutan #DakwaSemulaZahid adalah tuntutan untuk kelulusan, integriti institusi kehakiman dan kesamarataan di sisi undang-undang,” katanya lagi.
Semalam, Muda melancarkan kempen bagi menuntut Jabatan Peguam Negara membuka semula kes Zahid berkaitan Yayasan Akalbudi.

Pemangku Presiden Muda, Amira Aisya Abdul Aziz berkata kempen itu penting kerana rakyat berhak untuk mengetahui kebenaran dan rakyat mahu tahu “bagaimana orang yang berada dalam kerajaan boleh lepas dengan begitu sahaja”.
Susulan itu, dua pemimpin Umno Johor mengecam langkah Muda, antaranya Ketua Penerangan Umno Johor Israk Abdullah yang memberi amaran muda itu berisiko “menghakis keyakinan rakyat terhadap badan kehakiman negara”.
Timbalan ketua Pemuda Umno Johor Aswad Ithnain pula menyifatkan Muda mengamalkan dwistandard kerana mendesak kes Zahid dibuka semula, tetapi berdiam diri mengenai prosiding undang-undang melibatkan bekas presidennya sendiri, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Syed Saddiq sebelum ini didapati bersalah antaranya atas pecah amanah jenayah dan pengubahan wang haram melibatkan RM1.2 juta dana Pemuda Bersatu pada 2023.
Namun, pada 25 Jun lalu, Mahkamah Rayuan membebaskan ahli Parlimen Muar itu daripada semua pertuduhan. Jabatan Peguam Negara kemudian memfailkan rayuan di Mahkamah Persekutuan.
Sementara itu, Rasid menuduh pemimpin Umno Johor lebih mementingkan kesetiaan politik berbanding prinsip keadilan.
“Muda tidak akan terjebak dalam permainan politik sempit ini. Sebaliknya, kami akan terus berjuang agar kes ini dibawa semula ke mahkamah demi kedaulatan undang-undang,” katanya lagi.
Rasid turut menyifatkan dua pemimpin Umno itu cuba “mengampu” menjelang pilihan raya umum.
“Mungkin kerana musim pilihan raya semakin dekat, ramai yang ingin mengampu demi sekeping watikah untuk peluang menjadi calon pilihan raya.
“Jangan kerana ingin mengampu pemimpin kamu, nama Johor yang Ta’zim ini terpalit dengan nama pemimpin yang skandal rasuah, pecah amanah dan salah guna kuasanya terkenal di seluruh dunia.
“Budaya mengampu bukan cara orang Johor,” katanya lagi.