Malaysia Oversight

Amnesty dakwa penindasan hak asasi manusia M’sia kian meningkat

By MkiniBM in April 29, 2025 – Reading time 3 minute
Amnesty dakwa penindasan hak asasi manusia M'sia kian meningkat


Amnesty International memberikan penilaian buruk pada rekod hak asasi manusia Malaysia, khususnya terkait amaran mengenai autoritarianisme yang semakin keras, kekebalan undang-undang yang berakar umbi dan penindasan yang didakwa semakin meningkat.

Dalam laporan State of the World Human Rights 2024 melibatkan 150 negara dikeluarkan badan itu, ia menyoroti jenayah terhadap perbezaan pendapat melalui penapisan, penindasan, pengawasan besar-besaran dan keganasan.

“Malaysia tidak terkecuali daripada trend global yang membimbangkan ini.

“Walaupun jumlah individu dalam senarai hukuman mati berkurangan itu merupakan langkah penting yang sudah lama tertangguh, ia dibayangi oleh kemerosotan serius di aspek lain.

“Pada 2024, terus menyekat kebebasan bersuara dan perhimpunan aman, selain mengabaikan akauntabiliti polis dan gagal mempertahankan hak pemohon suaka, pelarian dan pendatang,” menurut laporan itu.

Semasa membentangkan laporan itu hari ini, Pengarah Eksekutif Sementara Amnesty International Malaysia, Vilasini Vijandran, berkata tindakan pada 2024 bukan sahaja gagal menghapuskan sekatan terhadap kebebasan bersuara, malah meningkatkan lagi ancaman terhadap kebebasan asas.

Menurut laporan tersebut, disebalik janji pilihan raya, gagal memansuhkan undang-undang drakonian seperti Akta Hasutan 1948, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

Dalam laporan terbaru itu, Amnesty berkata, kerajaan bukannya melakukan reformasi sebaliknya menggunakan undang-undang sebagai senjata terhadap artis, aktivis, dan pengkritik, yang secara sistematik menghadapi gangguan, penahanan dan siasatan hanya kerana mereka bersuara.

Laporan itu turut menyatakan bahawa pejuang hak asasi manusia, Mukmin Nantang, disiasat atas dakwaan hasutan selepas mempertahankan komuniti Bajau Laut, manakala artis grafik Reza ditahan kerana karya seni satira yang menyasarkan seorang tokoh politik.

Diamkan suara golongan terpinggir

Daripada bertindak balas terhadap kebimbangan lama masyarakat sivil, laporan tersebut berkata, kerajaan meluluskan pindaan pada Akta Komunikasi dan Multimedia secara tergesa-gesa dengan memperluas kuasa kerajaan untuk mengawal kandungan media sosial.

Ia juga, kata laporan berkenaan, memperkenalkan syarat pelesenan sewenang-wenangnya untuk platform media sosial.

Laporan itu turut menyatakan serangan terhadap kebebasan bersuara diperburuk lagi dengan kelulusan pantas Rang Undang-Undang Keselamatan Dalam Talian, yang didakwa bertujuan menangani buli siber tetapi memberi kuasa yang sangat luas kepada kerajaan untuk mengawal perbualan dalam talian tanpa ketelusan atau akauntabiliti.

“Seni bukanlah ancaman. Advokasi bukan jenayah. Kritikan bukan hasutan. Rakyat Malaysia mesti dibenarkan menyuarakan pandangan mereka dengan bebas – melalui ucapan, penulisan, filem, lukisan, atau hantaran dalam talian – tanpa rasa takut ditapis, gangguan, atau penahanan,” kata Vilasini.

Laporan itu turut mengecam tindakan berterusan Malaysia menyekat penganjuran perhimpunan aman dengan menyatakan bahawa pihak berkuasa menggunakan Akta Perhimpunan Aman 2012 (PAA) dan undang-undang lain yang menghukum untuk menjenayahkan protes sebagai melanggar perlindungan perlembagaan dan antarabangsa.

f8e398e44ea7d19d99645e9faa29764b
Reza

Laporan itu merujuk kepada penahanan pelajar Bajau Laut – termasuk kanak-kanak tiada kerakyatan – semasa mengadakan protes untuk mendapatkan akses air bersih di Sabah.

Ia juga digambarkan sebagai langkah kerajaan menggunakan kuasanya untuk mendiamkan golongan paling terpinggir.

“Pihak berkuasa Malaysia perlu sedar bahawa dengan berbuat demikian, mereka bukan sahaja menindas protes tetapi turut menghantar mesej menakutkan kepada golongan muda bahawa suara mereka tidak dialu-alukan,” kata Vilasini.

Menurutnya lagi, walaupun Perdana Menteri Ibrahim pada 5 Feb lalu mengumumkan rancangan untuk meminda PAA – bermula dengan pemansuhan seksyen 11 yang mewajibkan penganjur mendapatkan kebenaran pemilik tempat – Amnesty berpendapat reformasi sebenar masih belum meyakinkan.

“Kami menggesa kerajaan melibatkan masyarakat sivil secara bermakna dalam proses pindaan bagi memastikan semua semakan selaras dengan piawaian hak asasi manusia antarabangsa.

“Hak untuk berhimpun secara aman mesti dilindungi sepenuhnya, bukan diberikan secara terpilih.

“Sementara itu, tiada siapa sepatutnya ditangkap, disiasat, didakwa, atau dipenjarakan kerana menggunakan hak perlembagaan mereka untuk membantah,” katanya.

441c6793507648bb96a0e4ef59b97cd0
Mukmin Nantang

Laporan itu turut memberikan gambaran suram tentang layanan Malaysia terhadap pelarian, pendatang dan tahanan pada 2024, mengecam penahanan tanpa had, penafian perlindungan undang-undang dan penyalahgunaan sistematik di pusat tahanan.

“Daripada penahanan sewenang-wenangnya kepada penyalahgunaan yang tidak dikawal, pendekatan kerajaan kini bukan sahaja menghilangkan kemanusiaan individu yang mencari keselamatan dan kehidupan lebih baik, malah mengekalkan sistem kekebalan undang-undang,” katanya.

Laporan itu menyatakan sekurang-kurangnya 24 kematian dalam tahanan direkodkan dari 2022 hingga pertengahan 2024, namun janji kerajaan untuk menyiasat tidak membawa sebarang akauntabiliti yang bermakna.

Walaupun terdapat dakwaan kemajuan – seperti pengurangan jumlah banduan hukuman mati – laporan itu menyatakan, mahkamah masih menjatuhkan hukuman mati, termasuk untuk kesalahan berkaitan dadah, yang melanggar undang-undang antarabangsa dan bertentangan dengan retorik reformasi kerajaan.

“Reformasi sebenar mesti menangani ketidakadilan sistemik. Sehingga hukuman mati dimansuhkan sepenuhnya, hak untuk hidup masih terancam,” katanya.

[Baca berita asal]



Source link