Malaysia Oversight

AMK bidas peguam Tei: Rasuah tetap rasuah

By MkiniBM in December 14, 2025 – Reading time 2 minute
AMK bidas peguam Tei: Rasuah tetap rasuah


Mendakwa Pemuda (AMK) berdiam diri terhadap rasuah melibatkan ahli politik merupakan naratif yang “malas” dan “berniat jahat”, kata ketua penerangan sayap parti itu, Danish Hairudin.

Dia berkata AMK konsisten dengan pendirian bahawa sebarang dakwaan rasuah mesti dilaporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan perlu disiasat.

“Ini adalah satu naratif malas dan berniat jahat. Pendirian kami jelas dan konsisten sejak hari pertama, sesiapa yang ada dakwaan perlu membuat laporan kepada SPRM, siasat dan ambil tindakan. Titik. Tidak perlu drama, tidak perlu skrip simpati dan proses itu sedang berjalan,” katanya pada satu kenyataan hari ini.

Kata Danish, walaupun dalam kes melibatkan Pengerusi Melaka, Shamsul Iskandar Md Akin, pendirian AMK tetap sama.

b457d79ffdaebb0ff2077f15383b6e95

“SPRM mesti menyiasat secara bebas, tanpa tekanan politik, dan mahkamah menentukan salah atau tidak.

“Jika terbukti bersalah perlu didakwa dan hal ini sedang berjalan,” katanya lagi.

Danish berkata demikian sebagai respons kepada peguam Mahajoth Singh, yang mengkritik Danish dan AMK kerana menyerang anak guamnya, ahli perniagaan Albert Tei.

Pada Jumaat, Danish mengecam Tei kerana mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan rasuah di mahkamah, dengan menyatakan tindakan itu bercanggah dengan kenyataan terdahulu individu berkenaan.

d389c8384b9d8abd714a6b58b53a6527

Mengulas lanjut, Danish menolak cubaan menggambarkan Tei sebagai pendedah maklumat.

“Saya tegaskan sekali lagi, Albert Tei bukan whistleblower tetapi dia adalah pelaku yang kecewa kerana gagal mendapatkan projek, seperti yang diakui dirinya sendiri.

“Jika projek itu diperoleh, kita semua tahu kisah ini tidak akan pernah didedahkan,” katanya.

Tei dan Shamsul sedang dibicarakan bersama atas dakwaan memberi dan menerima lebih RM240,000 dalam bentuk rasuah.

d888a8d119b097e4de1b575923243d77

Sebelum didakwa di mahkamah, Tei memberitahu Malaysiakini, dia telah membelanjakan lebih RM620,000 ke atas Shamsul selepas diberi jaminan bahawa bekas pembantu kanan kepada perdana menteri itu boleh membantu mendapatkan semula wang yang didakwa telah diberikan kepada ahli politik di Sabah.

Mahajoth sebelum ini berkata Tei berhak dari segi undang-undang untuk mengaku tidak bersalah di mahkamah.

Bagaimanapun, Danish menegaskan prinsip asas tidak berubah.

“Rasuah tetap rasuah, walau dibalut dengan air mata, gelaran palsu atau peguam yang lantang bercakap di luar mahkamah,” katanya.



Source link