Pemuda PKR (AMK) hari ini menyanggah pandangan dilontarkan Presiden PAS Abdul Hadi Awang berhubung kenyataannya mengenai “salah mengundi pemimpin” sehingga menyebabkan negara ini dilihatnya mengalami masalah.
Ketua penerangannya, Danish Hairudin, berkata mengheret fahaman agama untuk menjustifikasi kegagalan politiknya sendiri adalah sejenis manipulasi yang begitu berbahaya.
“AMK menolak keras kenyataan Abdul Hadi yang menyalahkan rakyat kononnya kerana mengundi pemimpin yang membawa kerosakan kepada negara.
“Ini tuduhan angkuh, tidak berasas, dan memperlekeh pilihan rakyat dalam sistem demokrasi.
“Mengheret fahaman agama untuk menjustifikasi kegagalan politik sendiri adalah satu bentuk manipulasi paling bahaya,” katanya dalam kenyataan petang ini.
Tambah Danish, menganggap pemimpin negara yang dipilih rakyat sebaga “perosak” kerana tidak memilih berdasarkan fahaman sempit politik agama adalah tidak menggambarkan keadaan sebenar.
Hakikatnya, kata Danish, pemimpin negara sedang mengembalikan integriti dan keadilan dalam sistem pentadbiran.
“Realiti semasa menunjukkan kerajaan perpaduan pimpinan Anwar Ibrahim berjaya mengawal kadar inflasi negara kepada 1.2 peratus pada Mei lalu yang merupakan kadar paling rendah dalam 51 bulan.
“Ini lebih rendah berbanding negara jiran seperti Indonesia (1.6 peratus) dan Filipina (1.3 peratus).
“Kalau benar ekonomi kita tenat seperti digambarkan Abdul Hadi, mengapa kadar inflasi negara mencatat penurunan ketara, malah seiring dengan negara-negara maju?” katanya.
Terdahulu, Abdul Hadi dalam tulisan Minda Presidennya berkata, pelbagai masalah yang timbul dalam negara ini berpunca daripada kesilapan orang ramai mengundi pemimpin yang membawa bermacam-macam ciri “perosak.”
Presiden PAS itu menjelaskan, antara masalah akibat kesilapan memilih pemimpin itu ialah keadaan ekonomi yang menyusahkan serta inflasi.
“Apabila tangan salah mengundi pemimpin yang disifatkan dengan ciri-ciri perosak dalam senarainya, iaitu berpolitik dengan kebendaan (rasuah), menipu dengan janji-janji bohong, dan melobi diri menjadi pemimpin, maka datanglah kerosakan aqidah melalui fahaman liberalisme dan pluralisme serta politik sekular yang terpisah daripada agama dan turutannya,” katanya.
Menjelaskan perkara itu Abdul Hadi mengulangi penegasannya bahawa umat Islam kini dilanda masalah sekularisme yang teruk sehingga membawa kepada terangkatnya pemimpin yang gagal mentadbir mengikut sempadan agama.
Danis berkata AMK ingin mengingatkan bahawa antara mereka yang pernah menjadi sekutu Abdul Hadi ialah individu yang sedang berdepan pertuduhan jenayah, atau pernah menerima keputusan DNAA (dibebas tanpa dilepaskan) oleh mahkamah secara kontroversi semasa kerajaan sebelum ini.
“Jangan cuba membina imej bermoral tinggi di atas realiti kerjasama politik yang penuh kompromi terhadap integriti.
“Daripada terus menghukum rakyat kononnya memilih pemimpin liberal, lebih baik Abdul Hadi menilai kegagalan PAS sendiri ketika berkuasa — termasuk ketika menjadi kerajaan pusat dalam PN dahulu.
“Ketika itu, ratusan ribu rakyat kehilangan kerja, harga barang melambung, dan bantuan tidak sampai kepada yang berhak,” katanya.
Justeru, kata Danish, AMK mengajak semua rakyat Malaysia menolak politik yang suka menyalahkan orang lain, mempergunakan agama, dan menabur kebencian.