Pengarah Eksekutif Mandiri, Amir Hariri Abd Hadi, dibebaskan sepenuhnya daripada pertuduhan di bawah Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012 berhubung dakwaan gagal memaklumkan kepada pihak berkuasa mengenai penganjuran satu perhimpunan pada tahun 2022.
Keputusan itu disampaikan oleh Majistret Farah Nabihah Muhamad Dan pada pagi ini.
Keputusan tersebut dibuat selepas mahkamah mendengar hujah Timbalan Pendakwa Raya, Anis Wahidah Mohamad, yang memaklumkan bahawa pihak pendakwaan telah diarahkan untuk menarik balik pertuduhan pada 5 Ogos lalu.
Anis Wahidah turut memohon agar mahkamah memberikan pelepasan tanpa dibebaskan (DNAA) mengikut Seksyen 173(g) Kanun Tatacara Jenayah.
Bagaimanapun, peguam Amir, Rajsurian Pillai, membantah permohonan itu dengan berhujah bahawa DNAA akan menyebabkan pertuduhan tersebut tergantung ke atas anak guamnya, sekali gus membuka ruang untuk pendakwaan semula pada masa hadapan.
Sehubungan itu, dia memohon mahkamah mempertimbangkan pembebasan sepenuhnya terhadap tertuduh.
Amir sebelum ini didakwa pada tahun 2022 di bawah Seksyen 9(5) Akta tersebut kerana didakwa gagal memaklumkan pihak berkuasa berhubung penganjuran perhimpunan #ManaKapalLCS lima hari sebelum ia berlangsung pada 14 Ogos tahun yang sama.
Dia kemudian memperoleh kebenaran Mahkamah Tinggi untuk mencabar peruntukan tersebut di Mahkamah Persekutuan tahun lalu, yang mana mahkamah tertinggi itu pada Julai tahun ini mengisytiharkan peruntukan tersebut sebagai tidak berperlembagaan dan tidak lagi sah.
[Berita penuh menyusul]