Amerika Syarikat Akan Menyemak Semula 55 Juta Visa Yang Dipegang Warga Asing
Effi Saharudin
Amerika Syarikat akan menyemak semula lebih 55 juta visa yang dipegang oleh warga asing yang berada di dalam negara atau ingin melakukan perjalanan masuk. Pengumuman semakan ini dilakukan oleh Jabatan Negara Amerika Syarikat pagi ini sebagai usaha mengawal kemasukan warga asing di bawah pentadbiran Trump.
Antara semakan yang akan dilakukan ialah mereka yang tinggal melepasi tempoh masa yang dibenarkan dalam visa, terlibat dengan aktiviti jenayah, ancaman kepada keselamatan awam, terlibat dalam sebarang bentuk aktiviti pengganas atau memberikan sokongan kepada organisasi pengganas.

Aktiviti akaun media sosial pemegang visa turut akan disemak bersama dengan rekod jenayah di negara asal selepas menerima visa Amerika Syarikat. Sekiranya aktiviti terlarang dikesan, visa pemegang akan ditarik semula.
Di bawah pentadbiran Trump, syarat mendapatkan visa pelajar telah diperketatkan. Awal tahun ini Kedutaan Amerika Syarikat di Malaysia menetapkan pelajar yang ingin memohon visa F, M atau J perlu berkongsi akaun-akaun media sosial dengan ia perlu diletakkan ke tetapan awam supaya boleh diperiksa.
Ini adalah bagi membolehkan pemeriksaan dilakukan ke atas kandungan-kandungan yang dimuat naik oleh pemohon. Presiden Trump merungut mengatakan pelajar luar negara tidak bersyukur dengan muatan media sosial yang membenci Amerika Syarikat. Tindakan ini diambil selepas beberapa demo menyokong Palestin dianjurkan oleh golongan pelajar di kampus seluruh Amerika yang dihadiri pelajar luar negara.
Komen
Sila log masuk untuk menghantar komen.