Malaysia Oversight

AMD Ryzen 9000 Embedded Diperkenalkan Untuk Sektor Industri – Hadir Dengan Sokongan 10 Tahun

By Amanz in October 8, 2025 – Reading time 2 minute
AMD Ryzen 9000 Embedded Diperkenalkan Untuk Sektor Industri – Hadir Dengan Sokongan 10 Tahun


Siri cip pemprosesan komputer desktop AMD Ryzen 9000 boleh dilihat sebagai komponen CPU yang terbaik di pasaran sekarang. Ia dimanfaatkan untuk gamer dan mereka yang mahu membina komputer berkuasa tinggi yang boleh melakukan pelbagai jenis tugas, dari gaming pada tahap yang tertinggi, ataupun menyunting dan mengolah video dalam resolusi yang tinggi.

Terkini, AMD telah melancarkan siri cip pemprosesan AMD Ryzen 9000 Embedded yang diperkenalkan untuk digunakan dalam komputer-komputer di sektor industri seperti automasi kilang, pembangunan teknologi AI dan pembelajaran mesin, perubatan, penyelidikan dan lain-lain.

Menurut AMD, cip-cip pemprosesan yang akan digunakan dalam siri ini termasuklah AMD Ryzen 9 9950X3D, AMD Ryzen 9 9950X, AMD Ryzen 9 9900X3D, AMD Ryzen 9 9900X, AMD Ryzen 7 9800X3D, AMD Ryzen 7 9800X dan AMD Ryzen 5 9600X.

image 22

Menurut AMD, cip-cip pemprosesan ini tidak hadir dengan sebarang perbezaan dari segi spesifikasi dan sokongan. Ia masih akan memerlukan sebuah papan induk AM5 untuk menggunakannya didalam sebuah komputer, dan masih akan menyokong teknologi seperti memori DDR5 dan juga PCIe 5.0 yang terbaru.

Kelebihan utama cip-cip pemprosesan AMD Ryzen 9000 Embedded ini ialah dari segi sokongan yang akan ditawarkan oleh pihak AMD untuknya. Menurut hantaran yang dibuat oleh mereka, cip-cip pemprosesan ini akan disokong selama 10 tahun, iaitu satu tempoh masa yang cukup panjang sekali untuk komponen CPU seperti ini.

Ini adalah kerana sektor-sektor industri sebegini jarang sekali menukar peranti dan komputer yang digunakan. Oleh kerana siri cip pemprosesan AMD Ryzen 9000 ini masih lagi sebuah platform komputer yang baru dan sangat berkuasa, pihak AMD melihat bahawa ini adalah masa yang terbaik untuk mana-mana syarikat industri menaiktarafkan kelengkapan perkomputeran syarikat atau institusi mereka.

AMD juga mengesahkan bahawa siri cip pemprosesan AMD Ryzen 9000 Embedded akan diperkenalkan kelak, dan akan menyertakan sejumlah ciri-ciri sekuriti tambahan untuk sektor-sektor industri yang memerlukannya.

AMD



Source link