AMD hari ini telah membuat satu pengumuman yang dilihat sebagai cukup mengejut untuk mereka yang masih menggunakan siri kad grafik AMD Radeon 5000 dan Radeon 6000 yang menggunakan cip grafik RDNA 1 dan RDNA 2.
Mereka mengatakan bahawa kad-kad grafik dalam siri tersebut tidak lagi akan menerima sokongan kemaskini perisian pemandu pada hari pertama, dan akan memfokuskan kepada kemaskini perisian kad grafik RDNA 3 dan RDNA 4 (AMD Radeon 7000, 9000) untuk memastikan bahawa mereka boleh memainkan permainan-permainan terbaru tanpa masalah.

Dengan kemaskini AMD Software Adrenaline Edition versi 25.10.1, ia merupakan kali terakhir bahawa kad-kad grafik RDNA 1 dan RDNA 2 ini akan menerima kemaskini untuk permainan-permainan moden. Kemaskini kali ini membawa penambahbaikan prestasi untuk Battlefield 6 dan Bloodlines 2 yang baru dilancarkan.
Ini bukanlah bermakna bahawa kad-kad grafik RDNA 1 dan RDNA 2 tidak akan dikemaskini lagi. Kad-kad grafik ini masih akan menerima kemaskini sekuriti dan pembaikan pepijat, tetapi tidak lagi akan menerima kemaskini tambahan untuk permainan-permainan yang akan dilancarkan di masa hadapan.
Menariknya, AMD ridak mengatakan apa-apa tentang cip APU yang menggunakan cip pemprosesan grafik tersebut. Satu konsol popular yang dijangka akan terkesan dengan keputusan ini ialah Steam Deck yang menggunakan APU AMD dengan cip grafik RDNA 2.






