Pada minggu lepas, kami telah melaporkan tentang pelancaran sebuah CPU Intel baru, iaitu Intel Core i5-110 yang menggunakan teknologi CPU Comet Lake (14nm+++) yang agak usang, dan secara teknikalnya, tidak lagi dihasilkan sehingga kini.
Terkini, AMD juga telah melancarkan sejumlah CPU menggunakan pelbagai teknologi CPU mereka setakat ini, termasuklah AMD Ryzen 7 9700F, AMD Ryzen 5 9500F, AMD Ryzen 5 7400 dan AMD Ryzen 5 5600F.
Dua model paling atas, iaitu AMD Ryzen 7 9700F dan AMD Ryzen 5 9500F merupakan cip pemprosesan AMD Ryzen 7 9700X dan AMD Ryzen 9600X yang tidak mempunyai cip pemprosesan grafik terbina, jadi sebarang troubleshooting yang dilakukan harus disertakan bersama sebuah kad grafik yang perlu dipasang pada papan induk.
Dari segi spesifikasi, cip Ryzen 7 9700F hadir dengan lapan teras dan 16 bebenang kuasa, cache L3 sebanyak 32MB dan kelajuan asas dan Boost Clock 3.8GHz dan 5.5GHz. Untuk cip Ryzen 5 9500F pula, cip pemprosesan ini hadir dengan enam teras fizikal, 12 bebenang kuasa, cache L3 sebanyak 32MB dengan kelajuan asas dan Boost Clock 3.8GHz dan 5GHz.

AMD Ryzen 5 7400 pula menggunakan teknologi ZEN 4, dan apa yang aneh mengenai cip pemprosesan ini ialah ia merupakan cip pemprosesan AMD Ryzen 5 7400F yang mempunyai cip grafik terbina. Dari segi spesifikasi, cip pemprosesan ini hadir dengan enam teras fizikal dan 12 bebenang kuasa, 16MB L3 cache dan kelajuan asas 3.3GHz dan Boost Clock 4.3GHz.
AMD Ryzen 5 5600F adalah cip pemprosesan yang lebih aneh lagi. Ia hadir dengan enam teras fizikal dan 12 bebenang kuasa dengan 32MB L3 cache, dengan kelajuan asas 3.0GHz dan Boost Clock 4.0GHz. Apa yang menarik di sini ialah walaupun benar AMD Ryzen 5 5600F tidak hadir dengan cip pemprosesan grafik, semua model CPU AMD Ryzen 5000 tidak hadir dengan cip grafik terbina.
Menurut AMD, cip pemprosesan ini hadir dengan nama tersebut untuk menandakan bahawa ianya merupakan sebuah cip pemprosesan yang kurang berkuasa berbanding dengan AMD Ryzen 5 5600.
Kesemua cip-cip pemprosesan ini jua dibangunkan untuk pasaran-pasaran khusus, AMD Ryzen 7 9700F misalnya adalah khas untuk pasaran Amerika Syarikat, manakala AMD Ryzen 5 7400F adalah untuk pasaran China. AMD Ryzen 5 5600F adalah untuk pasaran Asia Pasifik dan Jepun. Jualan untuk cip-cip pemprosesan ini akan diumumkan kelak.