Malaysia Oversight

‘Amat tidak sensitif’ – Loke kecam protes veteran DAP guna tuala wanita

By MkiniBM in August 4, 2025 – Reading time 2 minute
'Amat tidak sensitif' - Loke kecam protes veteran DAP guna tuala wanita


Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, mengecam sekumpulan veteran parti itu dari Negeri Sembilan kerana menggunakan tuala wanita sebagai cara meluahkan rasa tidak puas hati mereka terhadap kemungkinan seorang “orang luar” dilantik sebagai senator mewakili negeri itu.

“Tindakan mereka jelas tidak wajar… dan amat tidak sensitif,” katanya kepada wartawan selepas melancarkan sambutan Hari Kebangsaan peringkat parlimen Seremban di Sekolah Menengah Chan Wa, hari ini.

Menurut Loke, terdapat saluran dalaman parti untuk menyuarakan pandangan atau teguran sekiranya ada rasa tidak berpuas hati.

Dia turut mengingatkan bahawa dalam mana-mana parti politik, keputusan ditentukan oleh kepimpinan tertinggi, dan tidak semua keputusan mampu memuaskan hati semua pihak.

“Tetapi, anda tidak boleh bertindak sedemikian hanya kerana tidak bersetuju dengan keputusan kepimpinan.

“Sudah tentu, setiap keputusan dibuat setelah mengambil kira pelbagai pertimbangan. Namun, apabila keputusan telah dimuktamadkan, kita perlu meneruskan dengan keputusan itu,” kata Menteri Pengangkutan itu.

Semalam, Kelab Veteran DAP Negeri Sembilan mengkritik jawatankuasa negeri parti itu kerana didakwa “menggadaikan” kepentingan rakyat Negeri Sembilan susulan desas-desus bahawa jawatan senator akan diberikan kepada seorang individu dari luar negeri berkenaan, iaitu Vincent Wu dari Johor.

Dalam satu sidang media, veteran berkenaan memakai “topeng tuala wanita” yang direka khas sebagai simbol sindiran terhadap sikap berdiam diri pemimpin negeri dalam isu pelantikan tersebut.

Menurut laporan beberapa media, lebih 50 veteran parti dan wakil cawangan DAP dari Negeri Sembilan turut hadir dalam sidang media itu.

b900c4bab6c0c6ea80b4d8b98140f5c0

Ketua Wanita DAP, Teo Nie Ching, turut melahirkan rasa kesal terhadap tindakan veteran tersebut dan menyifatkan ia sebagai satu bentuk penghinaan dan pengukuhan stigma terhadap haid.

Bercakap kepada Malaysiakini, Teo berkata walaupun ada gerakan masyarakat yang menggunakan tuala wanita secara terbuka untuk mencabar stigma sosial, namun menggunakannya sebagai ejekan memberi kesan sebaliknya.

Mengulas lanjut, Loke menjelaskan bahawa sidang media yang diadakan oleh veteran parti itu hanya melibatkan sebilangan kecil ahli dan tidak mewakili pandangan keseluruhan parti.

Ditanya mengenai bantahan terhadap calon “orang luar”, dia menjelaskan bahawa setiap negeri mempunyai kuota untuk mencalonkan dua nama sebagai senator Dewan Negara.

Sejak 2018, katanya, DAP dan masing-masing diberikan satu kuota senator, dan Perlembagaan tidak menyatakan calon mestilah berasal dari negeri yang mencalonkannya.

“Dari sudut Perlembagaan, tiada yang salah selagi calon itu merupakan warganegara Malaysia. Perlembagaan tidak menetapkan bahawa calon perlu berasal dari negeri yang mencalonkan.

“Maka, apa sahaja yang kita lakukan mesti selari dengan Perlembagaan dan peruntukan undang-undang. Sekiranya kita tidak mematuhi Perlembagaan, pencalonan itu sendiri tidak akan diterima,” jelasnya.

Ditanya sama ada Vincent Wu merupakan calon tersebut, Loke menjawab: “Anda akan tahu esok. Kita akan bentangkan di Dewan Undangan Negeri.”



Source link