Ketua Pemuda Umno, Dr Akmal Saleh hari ini menyindir PKR dan ahli baru parti itu, Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, susulan penyertaannya ke dalam PKR.
“Terima kasih PKR kerana memberi kami akar umbi Umno erti sebenar kerajaan perpaduan ini.
“Amaran dah diberi, tetapi tetap juga dilakukan. Good luck Tengku Zafrul – moga akar umbi PKR boleh menerima kamu. Kita jumpa nanti di pilihan raya,” tulis Akmal dalam hantaran di Facebook.
Terdahulu, Ketua Penerangan Pemuda Bersatu, Harris Idaham Rashid turut mendakwa PKR mengabaikan amaran Umno dengan menerima Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri itu sebagai ahli.
Dalam satu kenyataan, Harris berkata langkah itu menguji kesetiaan dan semangat setiakawan antara PKR dan Umnoserta mencerminkan ketegangan yang semakin memuncak dalam gabungan PH-BN.
Semalam, Setiausaha Agung PKR, Fuziah Salleh mengesahkan Zafrul diterima sebagai ahli parti, selepas mengumumkan penyertaannya ketika melawat reruai Malaysia di Ekspo Dunia Osaka, Jepun.

Ketika dihubungi Malaysiakini, Fuziah berkata permohonan Zafrul diluluskan dalam mesyuarat jawatankuasa kepimpinan pusat parti itu pada 26 Julai lalu.
Akhbar Sinchew Daily semalam melaporkan Zafrul memberitahu pemberita bahawa dia kini ahli PKR dan permohonan keahlian dibuat melalui cabang PKR Ampang.
Namun, laporan tersebut menyatakan Zafrul tidak mendedahkan sama ada dia memegang sebarang jawatan dalam parti.
Zafrul dilantik sebagai senator pada Mac 2020, dan sekali lagi dilantik memegang jawatan itu pada Disember 2022.
Tempoh sebagai senator akan berakhir pada Disember tahun ini tanpa kemungkinan dilantik semula, sekali gus memaksa dia melepaskan jawatan sebagai menteri kabinet.
Pada Pilihan Raya Umum 2022, Zafrul bertanding di kerusi Parlimen Kuala Selangor namun tewas kepada Menteri Kesihatan, Dzulkefly Ahmad dalam pertandingan empat penjuru.
Dia menyerahkan surat peletakan jawatan daripada Umno dan mengumumkan hasrat menyertai PKR pada 30 Mei tahun ini.
Pengumuman itu mencetuskan spekulasi mengenai rombakan kabinet, memandangkan Umno akan kehilangan seorang wakil dalam kabinet.
Langkah tersebut turut mengundang reaksi negatif daripada pemimpin Umno yang mengkritik Zafrul dan memberi amaran kepada PKR bahawa tindakan itu boleh menjejaskan hubungan antara kedua-dua parti.