Kebanjiran kenyataan berbaur kebencian di media sosial mendorong Timbalan Presiden Amanah, Mujahid Yusof, menggesa agar kerajaan melihat kemungkinan untuk menggubal suatu akta khas bagi menangani isu tersebut.
Menurut Mujahid penting suatu undang-undang khusus digubal agar gelaja ucapan kebencian (hate speech) dapat dibendung sekali gus memastikan kesejahteraan negara terpelihara.
Dia yang juga seorang senator menjelaskan, undang-undang sedia ada belum cukup kuat bagi menangani isu berkenaan.
“Kita perlukan satu akta yang lebih jelas dan langsung (direct) untuk membolehkan tindakan tegas diambil terhadap sesiapa yang menyebarkan ucapan kebencian,” katanya kepada Malaysiakini semalam.
Mujahid ditemui selepas merasmikan Forum Menangani Ekstremisme Agama Demi Perpaduan dan Keharmonian Negara anjuran Akademi Nadwah Ulama’ Li An Nahdhah Al Jadidah (Akademi Nunji) di ibu negara semalam.
Ia diadakan dengan kerjasama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan.

Forum itu menghimpunkan tokoh akademik, agamawan, wakil NGO serta belia, dan menampilkan tiga ahli panel iaitu pendakwah, Ali Muda; peguam Fadhli Umar Amilnolhuda; serta Raja Haziq Raja Kamal selaku moderator.
Mereka membincangkan pelbagai pendekatan bagi menangani fahaman ekstrem dalam konteks masyarakat majmuk Malaysia.
Jadi mudarat jika salah guna
Menurut Mujahid, kebencian tidak semestinya datang dalam bentuk ancaman fizikal, malah turut merangkumi penyebaran hasutan dan penghinaan terhadap pihak tertentu di platform digital.
“Kita kena faham ekstremisme bukan hanya dalam bentuk keganasan, tapi juga dalam bentuk kebencian yang menimbulkan kemarahan dan akhirnya boleh membawa kepada tindakan (action).
“Itu yang saya sebut sebagai non-violence extremism,” katanya.
Bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri itu turut menegaskan fenomena “kebanjiran maklumat tidak benar” di media sosial menjadi punca utama ucapan kebencian semakin berleluasa.
Katanya, siapa pun yang jadi kerajaan pasti akan berdepan situasi sama apabila pihak pembangkang menggunakan ruang media sosial untuk menyerang dan berpolitik.
“Tapi apabila serangan itu membawa mesej kebencian, ia sudah melangkaui sempadan politik sihat,” tambahnya lagi.

Terdahulu Malaysiakini melaporkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim menggesa agensi penguatkuasaan undang-undang mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang menghasut kebencian di negara ini.
Dalam ucapannya pada perhimpunan penjawat awam di Putrajaya Ogos lalu, dia merujuk beberapa insiden termasuk kematian pelajar tingkatan satu, Zara Qairina Mahathir, di Sabah serta kesilapan memaparkan Jalur Gemilang yang dijadikan bahan politik untuk membangkitkan sentimen perpecahan.
Anwar turut menegaskan pihak berkuasa mesti bertindak terhadap pihak yang mengapi-apikan kebencian dan perpecahan tapa mengira pangkat atau kedudukan, selaras dengan komitmen kerajaan untuk mempertahan keharmonian dan nilai Madani.
Mujahid menekankan perlunya keseimbangan antara kebebasan bersuara dan tanggungjawab sosial, terutama dalam kalangan anak muda.
“Kebebasan itu manfaat, tapi boleh jadi mudarat apabila disalah guna.
“Sebab itu kita tekankan konsep freedom with responsibility (kebebasan dengan tanggungjawab) supaya masyarakat sedar akan kesan setiap apa yang diucapkan,” katanya.






