Malaysia Oversight

Amanah pertahan RUU Pembaharuan Semula Bandar

By Utusan in September 6, 2025 – Reading time 2 minute
Amanah pertahan RUU Pembaharuan Semula Bandar


IPOH: Parti Amanah Negara (Amanah) mempertahankan Rang Undang‑Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB) dengan menyifatkan ia mekanisme paling berkesan membela penghuni flat lama, pemilik kediaman dan tanah tanpa mengira kaum.

Setiausaha Agung Amanah, Muhammad Faiz Fadzil berkata, pemahaman secara terperinci perlu dijelaskan kepada pemilik bahawa naratif yang dimainkan sekiranya akta itu diluluskan menyebabkan mereka akan diusir tidak benar sama sekali.

“Sudah pasti pemilik tanah atau flat lama itu akan dapat balik rumah yang lebih selesa. Dahulu, satu rumah satu bilik sekarang (PSB dilaksanakan) satu rumah tiga bilik.

“Kita pasti unit-unit selebihnya perlu dijual oleh pemaju untuk menampung semua kos mereka kerana membina rumah baharu secara percuma kepada pemilik lama,” katanya.

Beliau ditemui pemberita pada Konvensyen Tahunan Pemuda Amanah Perak 2025 di sini hari ini.

Berhubung impak kepada kaum Melayu sekiranya RUU PSB diluluskan, Muhammad Faiz berkata, kaum itu kini terutama golongan muda semakin ramai yang menjadi profesional dan teknorat yang berkemampuan membeli rumah di bandar.

Jelasnya, peranan ialah memastikan rumah tersebut dijual dengan harga kompetitif supaya anak muda dan kaum Melayu boleh membelinya.

“Kita perlu stop divide and rule (hentikan pecah dan perintah) orang Melayu duduk di kampung. Bukan begitu, perlu duduk di bandar berkonsepkan ekonomi bandar.

“Itu akan mengangkat kuasa Melayu sebenarnya tapi kita dimomokkan dengan pembohongan akan diusir, tidak ada peluang nak beli,” katanya.

Tambah beliau, ekonomi bersifat berdaya saing yang sekiranya kaum Melayu menguasai perniagaan, pendidikan, status dan berpendapatan tinggi membolehkan mereka membeli rumah baharu di bandar besar.

“Amanah pertahankan (PSB) sebab ini bagus untuk orang Melayu dan bagus untuk orang muda.

“Ini yang berlaku di Kampung Kerinchi dan Abdullah Hukum semua bandar-bandar baru telah tumbuh sebab kita tidak boleh menggunakan flat-flat lama,” katanya. – UTUSAN

 





Source link