Berbaki seminggu sebelum hari penamaan calon pilihan raya negeri (PRN) Sabah, Amanah menyuarakan hasrat untuk bertanding di satu lagi kerusi, sambil berharap rundingan dengan sekutunya akan membuahkan hasil.
Presiden Amanah, Mohamad Sabu berkata walaupun parti itu diperuntukkan kerusi DUN Sulabayan, ia sedang berusaha untuk mendapatkan satu lagi kerusi untuk ditandinginya.
“Kami telah menyampaikan hasrat kami kepada Setiausaha Agung PH, Saifuddin Nasution Ismail — dia akan cuba mengadakan rundingan terakhir sebelum hari penamaan calon pada 15 November.
“Sulabayan adalah kerusi yang sukar (untuk dimenangi), tetapi apabila kami diberi amanah untuk bertanding di sesuatu kawasan, kami akan lakukan yang terbaik. Amanah tidak semestinya perlu bertanding di kawasan majoriti Muslim — kami boleh pergi ke mana-mana,” katanya pada sidang media di Konvensyen Nasional Amanah 2025 di Shah Alam, hari ini.
Mohamad yang lebih dikenali dengan nama Mat Sabu bagaimanapun tidak menyatakan kerusi kedua yang menjadi pilihan parti itu.
Katanya, sudah menjadi kebiasaan untuk rundingan kerusi berjalan sehingga saat akhir sebelum calon diumumkan, dan memberi jaminan bahawa hubungan dengan rakan-rakan pilihan rayanya tidak akan terjejas jika hasrat itu tidak dipenuhi.
Pada 22 Okt lalu, Saifuddin berkata rundingan pembahagian kerusi antara PH dan BN bagi PRN Sabah telah selesai, manakala rundingan antara PH dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dijangka diadakan tidak lama kemudian.

Timbalan Pengerusi BN, Mohamad Hasan turut mengesahkan tidak akan berlaku pertindihan kerusi antara BN dan PH dalam PRN Sabah ke-17 yang akan diadakan pada 29 November depan.
Pada Julai lalu, Mohamad berkata Amanah berhasrat untuk bertanding di lima kerusi DUN Sabah, antaranya Sulabayan, Tanjung Aru dan Lumadan.
Pada 27 Oktober, dia mengumumkan aktivis Julpikar Mijan, yang berasal dari Semporna, akan bertanding bagi kerusi Sulabayan, sambil menegaskan Amanah perlu bekerja keras untuk memenangi kerusi pertamanya di negeri itu.
Kerusi DUN Sulabayan terletak dalam kawasan Parlimen Semporna.
Sebelum pembubaran DUN Sabah pada 6 Oktober, kerusi DUN Sulabayan disandang oleh Jaujan Sambakong daripada Warisan manakala Presiden Warisan Shafie Apdal dikhabarkan turut berminat untuk mempertahankan pengaruh parti itu di kerusi berkenaan.
Terdahulu PAS juga dilaporkan menyatakan kesediaan mereka untuk menentang Amanah di situ.
Rombakan kabinet
Dalam isu berasingan, Mohamad berkata Amanah akan menerima sebarang keputusan yang dibuat oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim susulan khabar angin kemungkinan rombakan kabinet serta kekosongan yang bakal timbul ekoran tamat tempoh jawatan senator.
“(Rombakan) kabinet adalah prerogatif Perdana Menteri — dia boleh melantik ahli politik, profesional, orang daripada dalam atau luar parti — terpulang kepadanya,” katanya.
Tambahnya, walaupun Amanah belum mengadakan perbincangan dengan Anwar mengenai perkara tersebut, adalah penting untuk mengukuhkan kerajaan menjelang PRU akan datang.
Ditanya mengenai dakwaan perselisihan antara parti komponen PN, iaitu PAS dan Bersatu, Mohamad hanya berkata kedua-dua parti tersebut wajar dibiarkan menyelesaikan isu dalaman mereka sendiri.
“Kami akan lihat (situasi) dari jauh. Cuma dengan pergolakan yang mereka hadapi, mungkin kami boleh menghadapi PRU dengan lebih mudah dan rasa lega,” seloroh Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan itu.
Mutakhir ini, Bersatu berdepan dengan desakan pertukaran kepimpinan, dengan imej parti dikatakan tercalar akibat perebutan kuasa dalaman dan tindakan tatatertib terhadap ahli yang menyokong timbalan presidennya, Hamzah Zainudin.
Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man sejak itu mengisytiharkan bahawa parti itu kekal tidak campur tangan dalam krisis kepimpinan dalaman Bersatu.






