Amanah Johor tidak menolak kemungkinan PH akan bertanding di semua kerusi DUN Johor tanpa kerjasama dengan mana-mana gabungan lain termasuk BN dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Naib Pengerusi Amanah Johor, Zuhan Zain berkata, perkara itu adalah antara dua senario yang sedang dipertimbangkan oleh gabungan tersebut dalam merangka strategi menghadapi PRN.
“Kemungkinan pertama adalah kerjasama bersama dengan BN Johor dalam berhadapan dengan PRN nanti dan hal ini juga memerlukan komitmen dari PH Johor untuk membawa agenda pembahagian kerusi sama rata antara BN-PH di Johor.
“Kemungkinan kedua yang boleh berlaku adalah gabungan PH bertanding di semua kerusi di Johor tanpa ada kerjasama dengan BN dan mana-mana gabungan lain di Johor,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
PRN Johor dijangka diadakan selewat-lewatnya pada awal 2026 apabila tempoh mandat semasa DUN Johor tamat sekitar Mac tahun tersebut. Selain Johor, tiga negeri lain perlu mengadakan PRN iaitu Melaka, Sabah dan Sarawak.
Rundingan kerusi antara PH dan BN dijangka menjadi cabaran utama khususnya di Johor yang merupakan kubu tradisi BN.
Walaupun kedua-dua gabungan kini berkongsi kuasa di peringkat Persekutuan, kesepakatan di peringkat negeri — khususnya dalam pembahagian kerusi DUN — masih belum dimuktamadkan.
Di Melaka misalnya, Ketua Pemuda Umno, Akmal Saleh menolak cadangan DAP agar agihan kerusi dibuat sama rata iaitu BN dan PH masing-masing bertanding 14 kerusi daripada 28 kerusi DUN.
Sementara itu, Zuhan menegaskan PH Johor perlu membuat keputusan segera memandangkan masa yang semakin suntuk untuk melaksanakan gerak kerja mendekati rakyat.
“Keputusan ini perlu segera dibuat berikutan masa yang tinggal adalah singkat untuk melakukan gerak kerja mendekati rakyat agar PH terus mendapat kepercayaan rakyat di negeri ini,” katanya.