Amanah mengingatkan Perdana Menteri. Anwar Ibrahim agar berwaspada terhadap permainan politik Amerika Syarikat, termasuk presidennya Donald Trump, dan tidak meletakkan nasib rantau ini dalam tangan atau di bawah kekuasaan mereka.
Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad menegaskan pendekatan berkecuali (non-aligned) yang telah lama diamalkan Malaysia perlu diteruskan dan hubungan dengan negara lain — khususnya anggota BRICS — wajar diperkukuh.
“Oleh itu Parti Amanah Negara ingin memesan kepada kerajaan dan Perdana Menteri Malaysia, supaya sentiasa berwaspada dengan mainan politik Amerika Syarikat, termasuk presidennya, dan jangan meletakkan nasib rantau ini dalam tangan atau di bawah kekuasaan mereka.
“Selari dengan pendekatan non-aligned ini, persahabatan dengan semua pihak dialu-alukan, demi mengekalkan keamanan dan pembangunan bersama di rantau ini.
“Namun segala usaha adu-domba serta pecah-belah dan perbalahan perlu ditentang sewajarnya,” kata Khalid dalam satu kenyataan.

Khalid mengulas kenyataan terbaru Anwar, yang memaklumkan dia menerima ucapan penghargaan daripada Trump kerana berjaya merundingkan keamanan antara Thailand dan Kemboja selaku pengerusi Asean ketika ini.
Anwar juga memaklumkan bahawa Trump bercadang menghadiri Sidang Kemuncak Asean ke-47 yang dijadualkan berlangsung di Kuala Lumpur pada Oktober ini.
Khalid berkata, meskipun Amanah menyambut baik minat dan keinginan Trump untuk bersama Asean, namun ia dialu-alukan selagi mana tidak bertujuan untuk mempengaruhi atau memaksa Asean ke arah hala tuju yang diinginkan negara itu.
“Sepertimana yang telah menjadi semakin jelas, dasar yang dilaksanakan Amerika banyak dicorakkan oleh kepentingan Zionis Israel atas sebab ramai pimpinan politik Amerika dibiayai oleh Zionis melalui AIPAC.
“Ini terbukti melalui apa yang sedang berlaku di Gaza yang walaupun jelas kezalimannya, terus disokong dan dibiayai Amerika,” katanya.
Khalid juga menegaskan bahawa suasana geopolitik dunia sudah berubah dan era kuasa besar tunggal juga mula berakhir, justeru tiada keperluan Malaysia dan Asean mengiyakan apa sahaja perancangan yang dikemukakan Trump.
“Sudah pasti cadangan-cadangan yang dikemukakan beliau bertujuan menjaga kepentingan Amerika dan sekutu-sekutu utama Amerika, khususnya Israel,” tambahnya lagi.
Kehadiran Trump pada sidang kemuncak Asean dijangka membawa implikasi besar dari segi geopolitik, diplomatik dan juga politik domestik rantau ini — malah mungkin dilihat sebagai usaha mengimbangi pengaruh China yang semakin berkembang, terutama apabila negara itu giat memperkukuh hubungan dua hala dan serantau dengan Asean.