Setiausaha Agung Amanah, Faiz Fadzil menggesa pihak berkuasa menyiasat Ahli Parlimen Pengkalan Chepa, Ahmad Marzuk Shaary kerana menyamakan keadaan di Malaysia dengan sejarah di Palestin.
Faiz menyifatkan kenyataan Ahmad Marzuk sebagai biadab dan berbahaya kerana menyentuh isu sensitif berkaitan 3R (Raja, Kaum dan Agama).
“Marzuk harus disiasat segera kerana kenyataan tersebut amat berbahaya kerana menyentuh 3R serta boleh mengancam ketenteraman awam yang melanggar Kanun Keseksaan dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Kenyataan tersebut juga dilihat satu bentuk hasutan yang boleh mengundang salah faham di kalangan umat Islam dan boleh menyemarakkan api perkauman dan konflik agama dan kaum di negara ini,” katanya dalam kenyataan.
Terdahulu, Ahmad Marzuk menerusi hantaran di Facebook bertajuk “Belajar Dari Sejarah Palestin: Jangan Kita Ulangi Kesilapan Yang Sama” menyeru umat Islam mengambil iktibar daripada nasib rakyat Palestin.

Dalam hantaran itu, Ahmad Marzuk mendakwa rakyat Palestin menerima pendatang Yahudi atas dasar kemanusiaan tetapi akhirnya menjadi mangsa kezaliman dan diusir dari tanah air mereka.
Dia turut mendakwa tanda-tanda serupa kini berlaku di Malaysia apabila sektor ekonomi semakin dikuasai oleh bukan Islam dan bukan bumiputera, termasuk pemilikan gedung besar, syarikat utama dan tanah strategik.
‘Menghina kaum Melayu sendiri’
Mengulas lanjut, Faiz menegaskan perbandingan yang dibuat oleh Ahmad Marzuk adalah tidak tepat dan mengelirukan kerana latar sejarah Palestin dan Malaysia jauh berbeza.
Katanya, penubuhan Israel berpunca daripada komplot antara British dan Zionis Yahudi yang merampas tanah penduduk asal Palestin hingga tercetusnya peristiwa Nakbah pada 15 Mei 1948.
Sebaliknya, di Malaysia, katanya, kaum bukan Melayu menjadi warganegara melalui proses perlembagaan tanpa peperangan, dan tiada orang Melayu diusir dari tanah air ini.
“Orang Melayu kekal menjadi kaum terbesar dalam Malaysia dan menerajui kepimpinan utama negara dan kerajaan.
“Sejak Merdeka sehingga kini, Perdana Menteri adalah orang Melayu dan kita tidak pernah menyaksikan Perdana Menteri datangnya daripada kaum lain. Malah, ketua negara iaitu Yang di Pertuan Agong juga adalah seorang Melayu,” jelasnya.
Faiz berkata, kenyataan Ahmad Marzuk yang menyentuh penguasaan ekonomi bukan Melayu dianggap menghina kemampuan kaum Melayu sendiri yang hari ini berjaya dalam pelbagai sektor seperti pembinaan dan pertanian.
“Ironinya, apabila kerajaan negeri pimpinan PAS memberikan tanah balak kepada bukan Melayu, tidak pula ditakrifkan seperti nasib rakyat Palestin.
“Inilah sikap “double standard” PAS yang hanya pandai menunggang agama tanpa ada sikap tanggungjawab terhadap perpaduan dan keamanan dalam negara,” katanya.






