Malaysia Oversight

Amanah besar pimpin MITI harungi cabaran global

By MkiniBM in December 16, 2025 – Reading time 1 minute
Amanah besar pimpin MITI harungi cabaran global


Johari Abdul Ghani menyifatkan pelantikannya untuk menerajui Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) sebagai satu amanah yang besar.

Katanya hal itu memandangkan negara sedang menghadapi persekitaran ekonomi global yang semakin mencabar, dipengaruhi oleh ketidaktentuan geopolitik, perubahan landskap perdagangan serta perkembangan teknologi yang pesat.

“MITI memainkan peranan penting dalam memastikan daya saing ekonomi negara terus terpelihara, keyakinan pelabur diperkukuh, serta dasar perdagangan dan perindustrian negara terus memberikan manfaat yang nyata kepada rakyat.

“Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada perdana menteri atas kepercayaan dan amanah yang diberikan kepada saya untuk menggalas tanggungjawab sebagai Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Perdana Menteri Ibrahim hari ini mengumumkan senarai rombakan kabinet Madani dengan Johari bertukar portfolio dari Kementerian Perladangan dan Komoditi sebelum ini.

Kekosongan bagi jawatan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri berlaku susulan tempoh perkhidmatan Tengku Zafrul Abdul Aziz sebagai senator dan ahli Dewan Negara berakhir pada 2 Dis lalu.

Timbalan Menteri MITI akan disandang oleh Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin, yang juga muka baru dalam pelantikan kali ini.

Bernama



Source link