Malaysia Oversight

Allianz sedia bantu pelanggan terjejas banjir

By Utusan in December 18, 2025 – Reading time 3 minute
Allianz sedia bantu pelanggan terjejas banjir


PETALING JAYA: Allianz General Insurance Company (Malaysia) Berhad (Allianz General) bersedia untuk membantu pelanggan yang terjejas akibat banjir melalui langkah-langkah bantuan banjir yang komprehensif, termasuk penyelesaian tuntutan banjir yang pantas serta perkhidmatan tunda.

Ini susulan kejadian banjir dan hujan lebat yang melanda beberapa kawasan di seluruh negara baru-baru ini, serta jangkaan lebih banyak kejadian menjelang akhir tahun. 

Ketua Pegawai Tuntutan Allianz General, Damian Williams berkata, pihaknya komited untuk memberikan bantuan segera kepada pelanggan yang terjejas melalui pelbagai perkhidmatan yang direka khusus bagi mengurangkan cabaran akibat banjir.

“Kami telah menempatkan trak tunda Road Rangers kami dalam keadaan siap siaga di seluruh negara dan turut mengerahkan enam unit kenderaan pacuan empat roda (4×4) berjenama Allianz serta pasukan Penyelarasan Tuntutan (Adjusters) ke kawasan terjejas banjir termasuk Kedah, dan Lembah Klang. 

“Pendekatan proaktif ini bertujuan untuk mempercepatkan proses tuntutan dan memastikan penyelesaian yang pantas, sekali gus mengurangkan beban kewangan pelanggan kami.

“Keutamaan kami adalah memastikan pemegang polisi menerima bantuan yang diperlukan secepat mungkin. Kami memahami cabaran yang dihadapi akibat bencana alam, khususnya banjir, dan pasukan kami komited untuk memberikan perkhidmatan yang cekap serta prihatin bagi membantu pelanggan kami pulih dan membina semula kehidupan mereka,” katanya dalam kenyataan. 

Pemegang polisi digalakkan untuk memaklumkan tuntutan mereka kepada Allianz General dengan menghubungi 1-800-22-5542, dan proses tuntutan akan dimulakan dengan segera.

Perkhidmatan tunda percuma disediakan kepada semua pemegang polisi Motor Komprehensif, Motosikal Komprehensif dan Motosikal Plus Komprehensif. 

Pemegang polisi hanya perlu menghubungi Allianz Road Rangers di 1-800-22-5542 untuk mendapatkan bantuan tunda.

Bagi pemegang polisi Motor yang mempunyai perlindungan Perils Khas (Special Perils) yang sah, Allianz General telah mempermudah proses tuntutan bagi memastikan perkhidmatan yang pantas dan cekap. 

Pemegang polisi hanya perlu mengemukakan maklumat polisi untuk tujuan pengenalan, sekali gus membolehkan pengalaman tuntutan yang cepat dan lancar.

Penyelesaian tuntutan juga dipercepatkan untuk semua pelanggan, termasuk polisi individu seperti Smart Home Coverserta polisi komersial seperti Fire dan Allianz Business Shield, di mana pemegang polisi akan menerima bayaran penyelesaian atau bayaran interim dalam tempoh lima hari selepas lawatan tapak oleh Adjuster.

Selain itu, Allianz General turut mengecualikan klausa nilai pengembalian (reinstatement value clause) dan klausa pemegang gadaian (mortgagee clause) bagi pemegang polisi individu yang terjejas akibat banjir, sekali gus meringankan beban kewangan dalam tempoh yang mencabar ini.

Bagi pemegang polisi insurans kebakaran komersial, bayaran interim akan dibuat dalam tempoh lima hari selepas lawatan tapak oleh Adjuster. 

Sekiranya tuntutan tidak dapat diselesaikan dalam tempoh 28 hari, satu lagi bayaran interim akan dibuat sebelum hari ke-30, bagi memastikan sokongan berterusan kepada pelanggan Allianz General.-UTUSAN

 





Source link