Peguam kepada pendedah maklumat Albert Tei telah menulis surat kepada Ketua Polis Negara, Khalid Ismail, bagi mendapatkan penjelasan mengenai status siasatan polis berhubung laporan yang dibuat lebih lima bulan lalu terhadap Arifin Arif.
Menurut surat yang dilihat oleh Malaysiakini, peguam Mahajoth Singh berkata anak guamnya telah membuat laporan terhadap Arifin – menantu kepada Yang di-Pertua Negeri Sabah, Musa Aman – pada 6 Februari namun sehingga kini belum menerima sebarang maklum balas mengenai perkembangan siasatan.
“Anak guam kami masih belum menerima sebarang jawapan atau maklum balas tentang status siasatan sehingga 7 Julai, walaupun beberapa surat telah dihantar mengikut prosedur di bawah Seksyen 107A Kanun Tatacara Jenayah,” katanya.
Tei mendakwa Arifin – salah seorang individu yang dituduh menerima rasuah sebagai pertukaran untuk lesen penerokaan mineral – telah membuat “laporan palsu” dengan mendakwa artikel Malaysiakini bertarikh 3 Februari tidak tepat, mengelirukan serta sarat dengan dakwaan palsu dan fitnah.

Pada 6 Februari, ahli perniagaan berkenaan membuat laporan balas terhadap Arifin, sehari selepas menteri negeri itu membuat laporan polis berhubung artikel Malaysiakini mengenai dakwaan tawaran penyelesaian.
Arifin menuduh ahli perniagaan itu terlibat dalam kartel yang cuba memonopoli lesen perlombongan di negeri tersebut.
Bagaimanapun, dalam laporan balasnya, Tei menyatakan kesediaannya untuk ditangkap dan didakwa sekiranya siasatan membuktikan dakwaan berhubung tawaran penyelesaian itu adalah palsu.
Sejak itu, kata Mahajoth, ketiadaan perkembangan dalam siasatan mendorong Tei membuat aduan kepada Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) pada 8 Julai.
Tiada komunikasi susulan
Susulan aduan kepada IPCC, Tei telah dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi pada 15 Julai untuk memberi keterangan di bawah Seksyen 112 Kanun Tatacara Jenayah.
“Kami dimaklumkan bahawa selepas keterangannya direkodkan, pegawai penyiasat memberi jaminan bahawa siasatan akan diteruskan dengan segera,” kata Mahajoth (gambar bawah).
Namun begitu, katanya, dua minggu telah berlalu sejak keterangan itu diambil, tetapi masih tiada komunikasi lanjut daripada pihak berkuasa.

“Kami hairan mengapa siasatan ini kelihatan tidak diberi keutamaan, lebih-lebih lagi kerana laporan ini melibatkan kesalahan serius di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan,” tambahnya.
Dia turut menyuarakan kebimbangan terhadap ketelusan dan integriti siasatan polis, dengan mengatakan bahawa ketiadaan kemas kini menimbulkan persoalan besar.
Bulan lalu, Tei bersama dua Ahli Dewan Undangan Negeri – Timbalan Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan negeri Andi Suryady Bandy serta Adun Sindumin Yusof Yacob – mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan rasuah berkaitan skandal tersebut.