Malaysia Oversight

Albert Tei dedah surat sokongan projek lombong, Kitingan ‘tiada komen’

By MkiniBM in September 25, 2025 – Reading time 2 minute
Albert Tei dedah surat sokongan projek lombong, Kitingan 'tiada komen'


Ahli perniagaan Albert Tei mendedahkan surat sokongan yang didakwa oleh Timbalan Ketua Menteri Sabah 1 Jeffrey Kitingan untuk permohonan lesen melombong pasir di Pulau Balambangan.

Pendedahan terbaru itu susulan presiden Parti Solidariti Tanah Airku (Star) itu menafikan terbabit dalam skandal perlombongan dan menyifatkan dirinya sebagai “conservationist” atau individu yang menyokong usaha pemuliharaan alam.

Dalam surat yang didakwa bertarikh 25 April 2022, yang ditujukan kepada Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor, Kitingan didakwa telah mengesahkan permohonan lesen melombong pasir di Pulau Balambangan di Sabah – yang merupakan usaha sama dengan Yayasan Sabah.

“Selepas meneliti cadangan pihak syarikat, saya menyokong penuh dan bersetuju dengan kenyataan mereka bahawa pelaksanaan projek ini dapat mewujudkan banyak peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat serta menyumbang pendapatan besar kepada hasil Yayasan Sabah dan Sabah.

Sehubungan dengan itu, saya berharap YAB Datuk Seri juga akan memberi sokongan dan kelulusan penuh ke atas projek ini,” kata surat itu.

7bc064741d368d25040bac4b398392d2

Ketika dihubungi untuk maklum balas mengenai surat yang didakwa itu, Kittingan sekadar menjawab “tiada komen”.

Semalam, Tei mengeluarkan rakaman video perbualannya dengan Kitingan, yang didakwanya menerima bayaran terbesar dalam skandal perlombongan Sabah.

Tei juga berkata jumlah wang yang dikatakan diberikan kepada Ahli Parlimen Keningau itu ialah RM1.78 juta – lebih tinggi daripada angka RM1.6 juta yang disebut dalam klip video itu.

Pertemuan itu didakwa berlaku di sebuah restoran makanan laut di Kuala Lumpur pada 13 Okt 2024, dan berkisar mengenai pembatalan lesen carigali mineral.

Awal hari ini, Kitingan, yang juga presiden Parti Solidariti Tanah Airku (Star), menafikan tuduhan itu, sambil menambah dia “tidak benar-benar ingat” mengadakan perbualan dengan Tei mengenai sejumlah wang seperti yang digambarkan dalam video itu.

Kitingan berkata perbualan itu nampaknya mengenai derma politik “tahun lalu sebelum pilihan raya” dan mendakwa ia tiada kaitan dengan skandal perlombongan yang membabitkan Sabah.

Sementara itu, Tei mendakwa surat yang didakwa ditandatangani Kitingan itu membuktikan ahli parlimen Keningau terbabit secara langsung dalam skandal itu.

Dia berkata bahawa kenyataan Kitingan bahawa dia “tidak benar-benar ingat” perbualannya dengan ahli perniagaan itu tidak akan menyelamatkannya.

“Bagi dakwaannya mengenai derma politik, saya cabar dia mengemukakan surat rasmi memohon sumbangan, resit rasmi, laporan audit tahunan yang menyebut nama saya sebagai pencarum, penyata bank, dan jumlah sumbangan,” tambahnya.

Tei, yang telah didakwa bersama dua berhubung skandal itu, berikrar untuk mengeluarkan “lebih banyak bukti”.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki berkata suruhanjaya itu sedang menyiasat dakwaan terhadap Kittingan.



Source link